Jumaat, 25 Februari 2022 | 9:10am
Foto hiasan
Foto hiasan

Hujan berterusan diramal di Johor, pantai timur hingga esok

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk) di beberapa kawasan di Johor dan pantai timur Semenanjung, hingga esok.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata ia susulan luruan monsun berserta satu sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan dengan pergerakan memasuki kawasan perairan pantai timur Semenanjung dijangka berterusan sehingga esok.

Beliau berkata, hujan lebat berterusan dalam tempoh yang panjang boleh mengakibatkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.

Selain itu, katanya angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor serta Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan diramal berterusan sehingga Isnin ini.

"Amaran hujan berterusan (buruk) diramal berlaku di Kelantan; Terengganu; Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin, Pahang dan Mersing, Johor.

"Selain itu hujan berterusan (waspada) berkuat kuasa sehingga esok meliputi Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Mualim, Perak; Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran serta Bera, Pahang; Selangor; WP Kuala Lumpur; dan WP Putrajaya.

"Selain Negeri Sembilan; Melaka; dan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, Johor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita Harian X