Khamis, 24 Februari 2022 | 10:27pm
Tentera bergerak selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengisytiharkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine. Foto REUTERS
Tentera bergerak selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengisytiharkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine. Foto REUTERS

Malaysia akan pindahkan 11 rakyat dari Ukraine

PHNOM PENH: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata 11 rakyat Malaysia yang berada di Ukraine kini dalam proses untuk dipindahkan, berikutan keadaan tidak menentu di rantau itu.

"Kedutaan Besar Malaysia's (di Kyiv) kini sedang berhubung dengan rakyat Malaysia. Mereka yang berada di luar Kyiv sedang dalam perancangan untuk keluar. Mereka yang berada di Kyiv akan berkumpul di Kedutaan," katanya dan menambah bahawa lapan rakyat Malaysia di Kyiv, manakala selebihnya berada di luar dari ibu kota terbabit.

"Keutamaan kerajaan adalah keselamatan rakyat," katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan rasmi dua hari di sini hari ini.

Dilaporkan Ukraine mengumumkan hari ini, penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, disebabkan 'risiko tinggi' terhadap penerbangan awam.

Difahamkan pelan pemindahan untuk rakyat Malaysia adalah menerusi jalan darat ke Poland, yang mungkin akan mengambil masa 10 jam meliputi perjalanan 782 kilometer.

Difahamkan Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv kini berhubung dengan pihak berkaitan di Warsaw dan telah meminta bantuan mereka untuk membantu dalam pergerakan melintasi sempadan.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ciapan di twitternya berkata "Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv kini berusaha memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat untuk rakyat Malaysia sebelum mereka dapat pulang ke Malaysia". - BERNAMA

Berita Harian X