Khamis, 24 Februari 2022 | 7:19pm
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (tiga kiri) bersama Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting (kiri), Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon (dua kiri), Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon (empat kiri) selepas sidang media pengumuman calon MCA PRN Johor di Johor Bahru. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (tiga kiri) bersama Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting (kiri), Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon (dua kiri), Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon (empat kiri) selepas sidang media pengumuman calon MCA PRN Johor di Johor Bahru. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

MCA kemuka 15 calon, 9 muka baharu

JOHOR BAHRU: MCA mempertaruhkan sembilan muka baharu daripada 15 calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Antara muka baharu tersenarai ialah Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Chan Shan Shan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Lee Ting Han (Paloh), Tan Hiang Kee (Perling) dan Lim Soon Hai (Skudai).

Calon bagi kerusi DUN Puteri Wangsa akan diumumkan esok.

Terdahulu pengumuman calon MCA dibuat berasingan apabila semua calon UMNO dan MIC diubah ke tengah hari tadi atas alasan calon MCA belum dimuktamadkan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata purata calon MCA dalam PRN Johor adalah berusia 43 tahun.

"Daripada 14 orang ini enam daripada mereka dalam usia 30-an dengan seorang berusia 27 tahun, manakala calon paling senior berusia 60 tahun.

"Sembilan daripada mereka adalah muka baharu," katanya pada sidang media memperkenalkan senarai calon MCA yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di sini, hari ini.

Beliau berkata, MCA perlu bekerja lebih keras bagi membuktikan ia masih relevan dan mampu menarik sokongan masyarakat termasuk pengundi baharu, selepas tewas semua 15 kerusi DUN ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Sebelum ini ada pihak cakap MCA tidak mampu menarik sokongan masyarakat termasuklah golongan profesional dan muda.

"Dalam PRN Johor ini, kita tampilkan senarai calon yang berkelayakan, calon baharu, muda, profesional dan wanita juga," katanya.

Katanya, MCA tidak gemar membuat ramalan berdasarkan statistik di atas kertas.

"Lazimnya saya tidak akan membuat ramalan walaupun kita ada sasaran tertentu, biarlah kita buat kerja bersungguh-sungguh untuk memenangi hati pengundi.

"Atas kertas mungkin dilihat seperti kita mempunyai kelebihan, namun perlu diingat kita tewas semua kerusi ditandingi dalam PRU lalu, maka kita perlu bekerja keras mendapatkan semula mandat rakyat," katanya.

Berita Harian X