Khamis, 24 Februari 2022 | 6:45pm

KASA fokus tiga aspek atasi banjir, hakisan pantai akibat perubahan iklim

KUALA TERENGGANU: Kerajaan akan memberi keutamaan menaik taraf infrastruktur negeri yang sering dilanda banjir sekitar Pantai Timur, Johor dan Selangor dalam menangani perubahan iklim yang mengakibatkan banjir dan hakisan pantai.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelan mitigasi itu memfokuskan sistem amaran banjir, selain ban dan sistem perparitan, serta naik taraf kemudahan termasuk pam di kawasan dikenal pasti.

Beliau berkata, ia termasuk meningkatkan tahap perlindungan kala purata ulangan (ARI) reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai, daripada 50 tahun kepada 100 tahun.

"Kita cuba beri fokus kepada beberapa perkara seperti amaran awal banjir, ban, sistem perparitan di kawasan yang sering dinaiki banjir dan menaik taraf kemudahan lain termasuk pam di kawasan dikenal pasti JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran).

"Ini antara penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi perubahan iklim yang menyebabkan berlaku banjir dan hakisan pantai, sehingga mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian berbilion ringgit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak projek naik taraf parit di Kampung Kubang Parit di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, pembinaan dan naik taraf ban antara perlu dilaksanakan segera memandangkan infrastruktur sedia ada tidak sesuai diguna pakai berikutan faktor perubahan cuaca dan kenaikan paras air laut.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenai pasti ban yang perlu dinaik taraf seluruh negara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta, Kementerian Alam Sekitar dan Air menyediakan pelan jangka pendek dan panjang untuk mengatasi isu ini yang membabitkan kos RM300 bilion menjelang 2100.

"Kita anggarkan kira-kira RM10 bilion peruntukan untuk naik taraf seluruh sistem sebab apa yang berlaku sekarang ini banjir berlaku hampir setiap tahun.

"Kita kerugian besar dengan setiap banjir (mencecah) bilion negara rugi, jadi penyelesaian secara 'one off' ini kita akan laksanakan dan Perdana Menteri dalam mesyuarat kabinet sudah meminta kementerian menyenaraikan kerja yang perlu segera dilakukan," katanya.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kanan) melihat pelan tapak cadangan projek naik taraf parit tanah kepada longkang konkrit di Kampung Kubang Parit - FOTO NSTP/ GHAZALI KORI
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kanan) melihat pelan tapak cadangan projek naik taraf parit tanah kepada longkang konkrit di Kampung Kubang Parit - FOTO NSTP/ GHAZALI KORI
Berita Harian X