X
Khamis, 24 Februari 2022 | 4:29pm
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Aliff Anas Md Noor.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Aliff Anas Md Noor.

KDN digesa kemuka rayuan batal perintah larangan buku promosi LGBT

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan perintah larangan ke atas buku 'Gay is Okay! A Christian Perspective'.

Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor, berkata walaupun alasan penghakiman yang dikemukakan hakim Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu kerana isi kandungan buku berkenaan ditulis daripada pandangan pengarang mengikut perspektif agama Kristian berhubung homoseksual, tetapi usaha untuk menormalisasikan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di dalam negara patut dihalang.

Katanya, ini kerana ia tidak sesuai untuk umat Islam dan budaya Timur apatah lagi dalam konteks Malaysia yang majoriti penduduknya adalah penganut Islam.

"GPMS juga berpendapat, walaupun pihak penerbit mengemukakan alasan kepada Mahkamah Tinggi bahawa tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh tujuh tahun sejak buku itu diterbitkan, ia masih dianggap sebagai promosi homoseksual yang masih boleh menjejaskan umum.

"Malah tajuk buku itu juga terang-terangan mempromosi budaya LGBT dan menarik minat golongan berisiko seperti kanak-kanak dan remaja untuk ikut terpengaruh membaca isi kandungan buku tersebut dan akhirnya menjerumus mereka ke dalam kancah budaya homoseksual yang menyimpang dari normalisasi ketimuran," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Justeru katanya, GPMS menggesa dengan tegas KDN mengemukakan rayuan segera pembatalan perintah larangan itu supaya ia diteliti semula di peringkat Mahkamah Rayuan dengan hujah-hujah yang lebih terperinci bagi membendung penularan buku itu kepada rakyat Malaysia.

Selasa lalu, penerbit dan penulis buku Gay is Okay! A Christian Perspective' berjaya membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku itu dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin, dalam keputusannya, membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh penulis buku terbabit, Ngeo Boon Lin dan penerbitnya, Chong Ton Sin.

Perintah larangan ke atas buku itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri pada 27 November 2020 mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dengan alasan kandungannya yang mungkin memudaratkan ketenteraman, moral dan kepentingan awam.

Berita Harian X