Khamis, 24 Februari 2022 | 1:33pm
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan watikah pelantikan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, yang juga calon DUN Benut, Datuk Hasni Mohammad, pada pengumuman 56 calon BN Johor bagi PRN Johor di Dewan Badan Perhubungan UMNO Johor, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan watikah pelantikan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, yang juga calon DUN Benut, Datuk Hasni Mohammad, pada pengumuman 56 calon BN Johor bagi PRN Johor di Dewan Badan Perhubungan UMNO Johor, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

BN nafi pertikaian punca belum umum calon MCA

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, menafikan berlaku pertikaian dalam perbincangan kerusi bersama MCA, menyebabkan calon parti komponen itu tidak diumumkan pada majlis pengumuman calon BN, hari ini.

Hasni, yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, tidak berlaku sebarang pertikaian dan pertelingkahan dalam perbincangan kerusi mana-mana komponen parti, termasuk MCA mahu pun Friends of BN.

"Sebenarnya apa yang terjadi adalah kesedaran terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini lebih mendalam, dengan semua parti dan calon sedar ini bukannya pilihan raya biasa.

"Alhamdulillah, semua komponen mahu memastikan calon yang ditampilkan adalah yang terbaik.

"Senarai calon BN tidak lengkap pagi ini, yang membabitkan 15 kerusi kerana MCA perlu memuktamadkan lagi calon mereka untuk memastikan hasrat, matlamat kita pada PRN ini untuk menampilkan calon yang terbaik seperti kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Naib Presiden MIC, Datuk M Asojan.

Selain itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak.

Ditanya sama ada pertukaran kerusi tradisi MCA dengan calon UMNO menyebabkan senarai calon MCA tidak dapat dimuktamadkan lagi, Hasni yang juga Menteri Besar Johor, turut menafikan perkara itu.

"Tak...bukan sebab pertukaran kerusi seperti Pulai Sebatang atau pun Parit Yaani, yang menjadi kerusi tradisi MCA.

"Persetujuan pertukaran kerusi antara MCA dan UMNO adalah disebabkan calon yang dikemukakan perlu yang terbaik ditampilkan seperti ditetapkan pucuk pimpinan," katanya.

Beliau berkata, MCA dijangka memuktamadkan senarai calonnya sebelum penamaan calon, Sabtu ini.

"Pada PRN Johor ini, UMNO akan bertanding 37 kerusi, MCA 15 dan MIC pula empat calon parti bertanding. Friends of BN tidak bertanding, namun kita akan terus bergerak atas satu pasukan.

"Sebanyak 37 kerusi yang ditandingi UMNO ini, saya amat yakin dan percaya adalah calon yang boleh membawa satu kekuatan kepada parti dan ia seperti diumumkan Presiden, sebagai satu gandingan muka baharu dan lama.

"Jumlah muka baharu menunjukkan parti terus melaksanakan peremajaan," katanya.

Berita Harian X