Isnin, 21 Februari 2022 | 1:15pm

`Macam kena gigit semut je' - Budak Kangkung

SLIM RIVER: "Tak sakit pun, macam kena gigit semut je," kata Muhammad Afiq Aryan Rosman, kanak-kanak berusia tujuh tahun, yang terkenal dengan gelaran 'Budak Kangkung'.

Muhammad Afiq Aryan berkata demikian selepas menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Sekolah Kebangsaan (SK) Aminuddin Baki, Slim River, dekat sini, hari ini.

Beliau yang belajar prasekolah SK Sri Keledang, Hulu Selangor, Selangor, bersempadan dengan Slim River, memilih untuk menerima vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di sekolah terbabit.

Muhammad Afiq Aryan berkata, beliau gembira kerana menjadi murid prasekolah yang pertama di sekolahnya menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Memang rasa takut pada mulanya tapi kalau tak cucuk vaksin, macam mana saya nak ke rumah jiran untuk beri kangkung nanti.

"Jom kawan-kawan, suntik vaksin, tak sakit pun , macam gigit semut je , mantap dan terbaik, abang kangkung," katanya.

Muhammad Afiq Aryan mendapat gelaran 'Budak Kangkung' selepas gigih menanam sayur kangkung dan memberinya kepada jiran sejak setahun lalu.

Sementara itu, ibunya, Intan Efazila Md Yusop, 43, berkata anak sulung daripada dua beradik itu begitu bersemangat selepas dimaklumkan beliau akan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Intan Efazila berkata, walaupun tiada paksaan untuk kanak-kanak mengambil suntikan itu, beliau memilih menyertai PICKids demi kesihatan dan keselamatan anaknya.

"Sebagai ibu, saya perlu memastikan keselamatan anak saya, terutama ketika mereka berada di sekolah," katanya.

Muhammad Afiq Aryan Rosman atau lebih dikenali sebagai ‘Budak Kangkung' bersama ibunya, Intan Efazila Md Yusop selepas menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19. - Foto NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN
Muhammad Afiq Aryan Rosman atau lebih dikenali sebagai ‘Budak Kangkung' bersama ibunya, Intan Efazila Md Yusop selepas menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19. - Foto NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN
Berita Harian X