Sabtu, 19 Februari 2022 | 10:24pm
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh (kiri) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh (kiri) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

'Sudah-sudahlah MUDA, kita bekerja'

PASIR GUDANG: PKR menyifatkan isu rundingan kerusi dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sudah selesai dan ingin memberi tumpuan penuh terhadap usaha memenangkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata pengumuman semua 20 calon parti itu bermakna isu pembahagian kerusi sudah dimuktamadkan, sekali gus memberi isyarat kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk memfokuskan usaha memenangi pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH).

Katanya, parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu perlu menyedari mereka bersama daripada parti pembangkang dan perlu menewaskan lawan yang sama.

"Sikap mengugut dan mengancam antara satu sama lain wajar diketepikan. PKR tidak akan meminggirkan MUDA.

"Jika kebetulan kita bertanding di kawasan bersebelahan, kita akan saling membantu. Kalau terus mengugut, kerja tidak berjalan.

"Berbalik kepada soal prinsip, PH mempunyai kerjasama dengan MUDA dari segi pembahagian kerusi apabila MUDA menerima kerusi daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP. PKR juga adalah sebahagian daripada PH.

"Jadi tak perlulah kata kalau kita tak boleh runding dengan PKR, kita akan langgar (berlaku pertindihan kerusi). Saya rasa itu sikap yang tidak betul.

"Kita perlu ada 'gentleman's understanding' (persefahaman budiman) walaupun kita bukan rakan dalam PH. Atas dasar itu, saya rasa tak perlulah membuat kenyataan menyatakan MUDA akan 'langgar'," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memperkenalkan tujuh calon terakhir PKR bagi PRN Johor Zon Tengah dan Zon Timur di Dewan Serbaguna Kampung Kopok Baru di sini, hari ini

Bagi menjernihkan keadaan, Syed Ibrahim berharap MUDA tidak berterusan mempersoalkan perkara itu, sebaliknya tampil bersama PH untuk saling membantu di kawasan ditandingi.

Katanya, "PKR akan memberi tumpuan di 20 kerusi ditandingi manakala MUDA perlu memastikan kerusi yang diperoleh daripada AMANAH dan DAP tidak dipersiakan.

Semalam, Syed Saddiq dilaporkan berkata, perbincangan antara pihaknya dengan PKR gagal mencapai kata sepakat, selain membayangkan kemungkinan berlaku pertindihan kerusi dengan PKR.

Berita Harian X