Jumaat, 18 Februari 2022 | 1:23pm

Balu arwah Abam menang saman fitnah adik ipar

KUALA LUMPUR: Isteri arwah Abam, Nor Hidayah Mohd Ali, menang dalam kes saman fitnah difailkan terhadap bekas adik iparnya, Ali, Puteh, yang turut diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM60,000.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan, selepas dua tahun kes saman fitnah itu berlangsung.

Zulqarnain memerintahkan pembayaran ganti rugi itu selepas membenarkan tuntutan balas yang dikemukakan Nor Hidayah selaku plaintif terhadap Ali Puteh, 33, atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, selaku defendan.

Ia berhubung hantaran berbentuk penghinaan kepadanya di laman sosial Instagram pada dua tahun lalu.

Dua tahun lalu, Nor Hidayah memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun Instagramnya, yang antara lain menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab.

Dia memohon ganti rugi am, teladan atau punitif dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Dia juga memohon satu perintah injunksi bagi menghalang adik iparnya menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya, kod dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu dalam prosiding sama, mahkamah turut menolak saman fitnah yang dikemukakan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya terhadap Nor Hidayah dan usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri dengan kos sebanyak RM13,000.

Dalam prosiding hari ini, Ali Puteh diwakili peguam, Noorazmir Zakaria, manakala Nor Hidayah diwakili peguam Mohamed Ibrahim Mohamad, manakala Alif Syukri diwakili peguam, Hasshahari Joha.

Ali melalu peguamnya akan memfailkan keputusan hakim itu di mahkamah tinggi.

Terdahulu, Ali mula berdepan kecaman sejak kemelut membabitkan beliau dan kakak iparnya, Nor Hidayah sehingga memaksanya membawa kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Kontroversi mula tercetus apabila Nor Hidayah memfailkan saman terhadapnya sekeluarga dengan jumlah terkumpul mencecah RM900,000.

Saman yang dibuat Nor Hidayah itu antaranya menuduh Ali mengambil harta Abam Bocey dan harta anak yatim, selain tuntutan faraid, hak penjagaan anak dan tuntutan kereta.

Nor Hidayah Mohd Ali, balu kepada Allahyarham Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan atau lebih dikenali sebagai Abam, selepas keputusan kes saman oleh adik iparnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Ali Puteh, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Nor Hidayah Mohd Ali, balu kepada Allahyarham Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan atau lebih dikenali sebagai Abam, selepas keputusan kes saman oleh adik iparnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Ali Puteh, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Berita Harian X