Rabu, 16 Februari 2022 | 12:39pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka'

PUTRAJAYA: Pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini mencatatkan kadar harian tertinggi dengan 39,749 dos semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata liputan dan pendaftaran kanak-kanak dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang diperkenalkan sejak 3 Februari lalu kini dilihat semakin meningkat.

"Alhamdulillah ibu bapa mahu memberi perlindungan kepada anak. Walaupun ada yang sebar fitnah anak saya dicucuk angin, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin. Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka," katanya di Twitter hari ini.

Menerusi ciapan yang sama, Khairy berkata data pendaftaran PICKids di negara ini menunjukkan sebanyak 893,000 kanak-kanak didaftarkan untuk mendapatkan pelalian berkenaan.

Daripada jumlah itu, 240,100 kanak-kanak didaftarkan di Selangor, Johor (130,300), Kuala Lumpur (87,800), Sarawak (76,700), Pulau Pinang (60,700), Perak (55,800) dan Kedah (47,300).

Selain itu Pahang dengan 38,300 kanak-kanak, Melaka (34,100), Sabah (33,800), Negeri Sembilan (29,300), Terengganu (25,700), Kelantan (19,600), Putrajaya (7,900), Perlis (3,900) dan Labuan (1,700).

Sementara itu, Ketua Data di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Dr A Maheshwara Rao, berkata hampir 900,000 kanak-kanak sudah mendaftar untuk mendapatkan pelalian berkenaan di aplikasi MySejahtera.

"Kami menggalakkan ibu bapa terus mendaftar. Di Lembah Klang, anda boleh menempah slot untuk anak anda, manakala di negeri lain, kaedahnya adalah melalui sekolah. Vaksin adalah selamat, dan melindungi anak-anak kita.

"#PICKids mencatat kadar harian yang tertinggi setakat ini, dengan 39,749 kanak-kanak menerima dos pertama Pfizer (untuk) kanak-kanak, tujuh peratus daripada populasi individu berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima dos pertama. Kadar vaksinasi akan terus meningkat dalam masa terdekat," katanya di Twitter,

Dalam pada itu, bagi pemberian vaksin untuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun, laman web COVIDNOW memaklumkan sehingga kini 92.5 peratus atau 2,877,213 daripada jumlah populasi remaja di negara ini sudah mendapatkan pelalian COVID-19. Selain itu 89.9 peratus bersamaan 2,796,605 individu pula sudah lengkap dua dos vaksin.

Selain itu, sebanyak 13,486,823 individu dewasa di negara ini sudah mendapatkan dos penggalak, jumlah itu adalah 57.3 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi dewasa di negara ini.

Berita Harian X