Selasa, 15 Februari 2022 | 9:12pm
Remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman atas tuduhan membunuh seorang bayi. - Foto BERNAMA
Remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman atas tuduhan membunuh seorang bayi. - Foto BERNAMA

JKM bantu remaja suspek tikam bayi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjelaskan sudah memberi intervensi menyeluruh kepada remaja berusia 15 tahun, disyaki menikam bayi yang baharu dilahirkan, baru-baru ini.

KPWKM dalam kenyataan berkata, intervensi berkenaan dibuat menerusi pendekatan psikososial demi kebajikan remaja terbabit, selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyantuni suspek serta ibunya, pada 8 Februari lalu.

Selain itu, katanya, kanak-kanak yang berdepan dengan konflik undang-undang perlu diuruskan melalui peraturan dan perundangan sedia ada seperti Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

"Sepanjang remaja terbabit berada dalam tahanan polis, sama ada di lokap atau hospital, JKM membuat lawatan dan menyalurkan bantuan bersesuaian, termasuk perkhidmatan psikologi.

"Ibu remaja terbabit juga diberi kaunseling dan intervensi awal, bagi memastikan kestabilan emosi keluarga dalam menghadapi situasi mencabar ini.

"Pendekatan menyeluruh melalui pendidikan seksual reproduktif, kesedaran dan kaunseling serta khidmat nasihat untuk wanita sedang menjalani kehamilan tidak diingini perlu dipertingkat, bagi mengelakkan hal sama berulang," katanya.

BH minggu lalu, melaporkan seorang bayi lelaki baru dilahirkan, ditemui mati dipercayai ditikam ibunya yang berusia 15 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di daerah Kemaman, Terengganu.

Remaja terbabit dilapor melahirkan seorang bayi lelaki di rumahnya, sebelum meminta rakannya menghubungi klinik kesihatan berhampiran memaklumkan kejadian itu.

Kakitangan perubatan mendapati bayi dilahirkan itu sudah meninggal dunia dengan kesan tikaman di dada dipercayai dibunuh ibunya itu, sebaik tiba di rumah mangsa.

Sementara itu, KPWKM berkata, pihaknya sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menyediakan peti pelindung bayi, bagi mengelakkan kes pembuangan bayi.

Selain itu, katanya, bayi yang dibuang oleh ibu bapa akan mendapat hak penjagaan keluarga dan kasih sayang melalui permohonan anak pelihara, namun peti pelindung bayi bukanlah satu-satunya penyelesaian bagi kes pembuangan bayi.

"KPWKM melalui JKM turut menyediakan perkhidmatan perlindungan segera di empat Taman Seri Puteri, bagi individu di bawah 18 tahun dan tiga Pusat Jagaan Sinar Kasih, bagi memberi jagaan dan perlindungan segera kepada wanita hamil luar nikah, termasuk bayi yang dilahirkan," katanya.

Berita Harian X