Isnin, 14 Februari 2022 | 6:19pm

Nikah di Thailand akan meningkat

KUALA KRAI: Sindiket nikah di Thailand akan kembali aktif selepas sempadan negara dibuka tidak lama lagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata pasangan yang merancang berkahwin sepatutnya bernikah mengikut undang-undang Malaysia, tanpa menggunakan khidmat sindiket nikah haram.

Katanya, keraguan mengenai keabsahan taraf perkahwinan juga timbul, jika pasangan menggunakan khidmat sindiket haram.

Dalam jangka panjang, beliau berkata, pengeluaran surat beranak dan pendaftaran persekolahan anak juga terjejas.

"Kebenaran membuka sempadan negara kelak perlu digunakan sebaik-baiknya, bukan menyumbang kepada jumlah kes perkahwinan menggunakan sindiket haram yang sememangnya ditegah kerajaan.

"Perkahwinan sesuatu yang baik. Gunalah saluran sebetulnya untuk membina masjid, yang tidak mendatangkan masalah kepada semua pihak.

"Kita juga bertanggungjawab untuk tidak menyokong khidmat sindiket nikah yang dijangka aktif sebaik sempadan dibuka," katanya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Ahmad Marzuk menyampaikan baju sekolah, kasut, stoking dan beg untuk anak asnaf di Kuala Krai.

Nikah di luar kariah tanpa kebenaran dijangka meningkat selepas sempadan negara dibuka. - Foto hiasan
Nikah di luar kariah tanpa kebenaran dijangka meningkat selepas sempadan negara dibuka. - Foto hiasan
Berita Harian X