Isnin, 14 Februari 2022 | 3:04pm
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor(kiri) dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kanan) ketika melakukan gimik pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah, di Dewan Al Hana, di sini, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor(kiri) dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kanan) ketika melakukan gimik pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah, di Dewan Al Hana, di sini, hari ini.

Kerajaan rancang tubuh jabatan baharu urus isu harta pusaka

SIK: Kerajaan merancang mewujudkan sebuah jabatan baharu, khusus bagi menyelesaikan kes tunggakan pembahagian harta pusaka di negara ini, yang didapati meningkat setiap tahun.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata proses mewujudkan jabatan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan lanjut.

"Kita hendak ada satu jabatan khusus yang ada pengarah dan kakitangannya sendiri di peringkat negeri untuk menguruskan hal berkaitan pusaka.

"Ketika ini, kita belum ada jabatan berkenaan dan kerajaan sedang dalam proses mewujudkannya dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Hadir bagi merasmikan majlis adalah Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Takiyuddin berkata, ketika ini Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) melalui Bahagian Pembahagian Pusaka menjadi satu-satunya jabatan kerajaan yang memberi perkhidmatan pembahagian harta pusaka di Malaysia.

Katanya, bagaimanapun jabatan itu hanya mengendalikan harta milik individu meninggal dunia bernilai bawah RM2 juta sahaja.

"Pada 22 Disember lalu, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) diluluskan di Parlimen yang akan meningkatkan bidang kuasa daripada RM2 juta kepada RM5 juta, selari dengan peningkatan hartanah semasa.

"Ia akan dapat membantu rakyat tanpa perlu membawa kes pembahagian ke mahkamah yang pastinya memerlukan kos khidmat guaman yang tinggi," katanya.

Takiyuddin berkata, Bahagian Pembahagian Pusaka kini menerima lebih 60,000 permohonan pembahagian pusaka setiap tahun, berbanding agensi lain seperti Mahkamah Tinggi dan Amanah Raya Berhad (ARB).

"Masalah tunggakan kes yang banyak ini termasuk di Kedah kira-kira 14,000 kes dan salah satu sebabnya adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Kerana itu JKPTG terpaksa menubuhkan pasukan khas untuk selesaikan kes tunggakan ini mengikut kaedah baharu secara dalam talian," katanya.

Berita Harian X