Ahad, 13 Februari 2022 | 4:19pm
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Syahirah Abdul Shukor.
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Syahirah Abdul Shukor.

Khidmat kaunseling bagi pesalah kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Pesalah kanak-kanak perlu diberikan perkhidmatan psikologi dan kaunseling, walaupun berdepan tuduhan kesalahan berat seperti membunuh.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Syahirah Abdul Shukor, berkata berbanding tindakan menghukum, pihak berkuasa perlu mempertimbangkan tindakan pemulihan bagi kanak-kanak, berdasarkan kapasiti mental dan persekitaran mereka.

Beliau yang pakar dalam bidang perundangan kanak-kanak, berkata syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK), susulan penahanan seorang remaja perempuan yang dipercayai menikam bayi yang baru dilahirkannya sehingga mati di Kemaman, Terengganu, Selasa lalu, adalah sejajar dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara.

"Perkhidmatan kaunseling kepada mangsa dan pesalah kanak-kanak amat diperlukan. Remaja ini perlu melalui proses undang-undang yang biasa kerana didakwa bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Bagaimanapun, melihat kepada usianya, isu yang perlu difikirkan oleh pihak berkuasa adalah pemulihan pesalah kanak-kanak ini, berbanding hukuman yang lebih sesuai bagi golongan dewasa," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, JKPK mengemukakan enam syor bagi memastikan hak kanak-kanak dilindungi sepenuhnya, termasuk semua kanak-kanak yang menghadapi konflik undang-undang harus diberi khidmat guaman secara percuma dari peringkat tahanan hingga selesai proses pengadilan jenayah.

Pengerusinya, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pihaknya khuatir kerana tindakan pertama agensi berkaitan adalah mereman remaja berkenaan yang masih di wad neonatal, bagi siasatan kerana membunuh, tanpa ada penilaian psikologi yang komprehensif atau laporan kebajikan sosial dijalankan, selain tanpa dia diberi sebarang khidmat guaman atau bantuan psikologi yang sepatutnya.

Mengulas lanjut, Syahirah berkata, tindakan pemulihan adalah hukuman terbaik yang boleh dijatuhkan kepada kanak-kanak, yang didapati mampu membentuk mereka menjadi individu yang bertanggungjawab.

"Kita tidak tahu persekitaran kanak-kanak ini. Mereka mempunyai kapasiti mental yang tidak matang dan agresif, serta mungkin persekitarannya negatif.

"Walaupun pesalah kanak-kanak ini berusia 15 atau 16 tahun, mereka masih mudah dibentuk. Ini terbukti berdasarkan kajian, berbanding mereka yang terus dijatuhkan hukuman.

"Walaupun kanak-kanak ini ditahan, pengisian dari segi akhlak dan berkelakuan baik perlu diberikan, selain mewajibkannya menghadiri kaunseling dan hadir ke mahkamah secara berkala," katanya.

Berita Harian X