Ahad, 13 Februari 2022 | 3:12pm
SUHAKAM menegur tindakan pihak berwajib berhubung penahanan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di lokap polis selepas dipercayai menikam sehingga mati bayinya sendiri yang baru lahir.
SUHAKAM menegur tindakan pihak berwajib berhubung penahanan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di lokap polis selepas dipercayai menikam sehingga mati bayinya sendiri yang baru lahir.

SUHAKAM tegur pihak berkuasa kes penahanan remaja 15 tahun

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegur tindakan pihak berwajib berhubung penahanan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di lokap polis selepas dipercayai menikam sehingga mati bayinya sendiri yang baru lahir.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata penahanan remaja berusia 15 tahun itu jelas bukan cara terbaik dalam menjaga kepentingan terbaik kanak-kanak.

Beliau berpandangan bahawa pendekatan yang diambil dalam mengendalikan kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang hendaklah selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang mana Malaysia adalah negara pihak CRC.

Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - Foto fail NSTP
Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - Foto fail NSTP

"Saya percaya bahawa remaja itu mengalami kondisi kesihatan mental yang teruk sehingga membawanya bertindak sedemikian. Amat penting untuk remaja itu terlebih dahulu diberi rawatan selepas melahirkan termasuk rawatan psikologi sebelum proses pendakwaan dijalankan.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu memastikan remaja itu diberi kedua-dua rawatan berkenaan dengan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BH pada 8 Februari lalu melaporkan seorang remaja wanita melahirkan bayi lelaki di rumahnya, sebelum meminta rakannya menghubungi Klinik Kesihatan berhampiran memaklumkan kejadian itu.

Sebaik kakitangan perubatan tiba di rumahnya, didapati bayi yang dilahirkan itu sudah meninggal dunia dengan kesan tikaman di dada dipercayai dibunuh ibunya itu.

Justeru, remaja perempuan yang dipercayai menikam bayi yang baru dilahirkan di rumahnya di Chukai, Kemaman direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Noor Aziah berkata, remaja itu perlu diberi bantuan guaman, terutama hak kepada peguam dan juga pegawai JKM yang akan berperanan sebagai pegawai pelindung.

"Pihak JKM digesa untuk mengaturkan bantuan guaman diberikan secara pro bono. Urusan bagi kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang harus dikendalikan selaras dengan peruntukan dalam Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan CRC.

"Berdasarkan Seksyen 83A Akta 611, kanak-kanak yang ditahan tidak boleh digari dan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak hendaklah dimaklumkan berhubung keberadaan kanak-kanak itu," katanya.

Di bawah akta sama dan CRC, identiti kanak-kanak perlu dilindungi dan tidak boleh didedahkan. Hak kanak-kanak atau remaja untuk berunding dengan peguam pilihannya harus dipenuhi. Selain itu, kanak-kanak dalam tahanan tidak boleh bergaul bersama tahanan dewasa yang didakwa dengan sesuatu kesalahan.

Pada masa sama, SUHAKAM secara tegas menyatakan remaja perempuan itu adalah mangsa rogol, tidak kira sama ada secara sukarela dan ia adalah kes rogol statutori di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan.

"Saya juga ingin tekankan bahawa prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak, seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3 CRC, hendaklah diaplikasikan dalam semua kes jenayah yang membabitkan kanak-kanak.

"Insiden ini sekali lagi menjelaskan bahawa pentingnya silibus pendidikan kesihatan seks, seksualiti dan reproduktif yang komprehensif dapat diwujudkan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kolaborasi bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan KPWKM.

"Silibus ini hendaklah diajar kepada semua kanak-kanak di semua sekolah kerajaan dan swasta. Kerjasama dan koordinasi yang lebih efektif haruslah dipupuk dalam kalangan agensi kerajaan yang berkaitan seperti KKM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan KPWKM bagi mempergiatkan usaha meningkatkan kesedaran kanak-kanak mengenai pendidikan tersebut melalui pelbagai medium, termasuk media social," katanya.

Noor Aziah sekali lagi menggesa kerajaan melaksanakan program yang lebih efektif dalam memberikan sokongan emosi kepada semua remaja dan kanak-kanak perempuan hamil, dalam persekitaran selamat.

"KPWKM perlu lebih menyebar luas perkhidmatan yang disediakan oleh JKM agar keluarga kepada remaja atau kanak-kanak perempuan yang hamil lebih bersedia dalam menangani situasi ini," katanya.

Berita Harian X