Ahad, 13 Februari 2022 | 2:57pm
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (dua, kiri) pada pelancaran Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Pertubuhan Peladang Kawasan C-IV Kangkong, Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (dua, kiri) pada pelancaran Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Pertubuhan Peladang Kawasan C-IV Kangkong, Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini. - Foto BERNAMA

Pesawah tidak dipaksa sertai SMART SBB

ALOR SETAR: Kerajaan tidak akan mewajibkan pesawah di negara ini menyertai skim SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) berikutan program itu ditawarkan secara sukarela.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pesawah masih diberi kebebasan memilih skim berkenaan atau meneruskan pengurusan sawah secara persendirian termasuk menanggung segala kos.

Jelasnya, skim SMART SBB yang dilaksana di Selangor, Perak dan Perlis berjaya meningkatkan pengeluaran padi sehingga 12 tan per hektar hasil pengurusan ladang yang cekap serta penggunaan teknologi.

"Ini (penyertaan) pilihan mereka (pesawah) kerana ia berbeza dengan apa yang biasa dilakukan. Ketika ini pesawah menguruskan sawah sendiri dan tanggung semua kos selain subsidi kerajaan, tetapi SMART SBB tidak libatkan kos kepada petani.

"Syarikat peneraju akan tanggung semua kos program ini dan hasil padi adalah milik petani sepenuhnya melalui jualan balik hasil kepada syarikat malah petani juga tidak perlu lagi berhutang dengan mana-mana pihak setiap kali musim tanaman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program SMART SBB bagi Kawasan Muda di sini, hari ini.

Yang turut hadir EXCO Pertanian dan Industri Makanan negeri, Azman Nasrudin dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Mengulas kebimbangan segelintir pesawah mengenai pelaksanaan SMART SBB, Ronald menjelaskan, program ini bakal meningkatkan pendapatan petani sehingga dua kali ganda dan mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

"Saya fikir apa jua program baharu dibuat kerajaan atau agensi tentu ada cabaran. Pertama untuk faham konsep dan kedua soal tidak mahu berubah, tetapi kita yakin kejayaan program ini seperti ditunjukkan di Selangor, Perak dan Perlis.

"Industri padi dan beras antara industri yang dipengaruhi orang tengah yang membiayai kos petani tetapi SMART SBB menemukan petani secara langsung kepada syarikat peneraju, sekali gus kurangkan pengaruh orang tengah," katanya.

Beliau memaklumkan, tiga pihak iaitu MADA, Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dipilih menjadi syarikat peneraju pelaksanaan skim SMART SBB di Kedah membabitkan 32 peserta dengan kawasan tanaman 100 hektar.

Katanya, 32 peserta program terbabit dijangka mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi sehingga tujuh tan per hektar berbanding purata antara tiga hingga 3.5 tan yang dihasilkan petani konvensional ketika ini.

Berita Harian X