Ahad, 13 Februari 2022 | 8:47am
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah. - Foto BERNAMA
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah. - Foto BERNAMA

Tukar sampah kepada barangan keperluan, bayar sewa rumah

KUALA LUMPUR: Inisiatif pertukaran sampah kepada potongan bayaran sewa rumah dan barangan keperluan asas menerusi 1C1R (1 Community 1 Recycle) mampu menarik minat masyarakat mempraktikkan amalan kitar semula, sekali gus memberi impak kepada kualiti alam sekitar.

Menerusi inisiatif menggunakan konsep sistem barter itu, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang membawa barang kitar semula ke kios 1C1R akan mendapat mata ganjaran atau 'green coin' yang boleh dikumpul dari semasa ke semasa dan kemudiannya ditukar kepada pembayaran sewa rumah serta barangan keperluan harian.

Misalnya, setiap satu kilogram (kg) sisa tin aluminium yang mewakili 12 mata ganjaran boleh ditukar dengan sepeket gula, manakala setiap satu kilogram minyak masak terpakai akan ditukar kepada mata ganjaran bernilai sekitar RM2, yang jika dikumpul sehingga 1,240 mata ganjaran (50 kg) boleh ditukarkan kepada sewa bulanan bernilai RM124.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata inisiatif rintis yang mula dilaksanakan di lima PPR sejak Oktober tahun lepas itu juga dilihat sebagai langkah untuk meringankan beban warga kota serta kaedah alternatif kepada penyewa PPR Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terutama golongan B40.

"Daripada mereka bawa dan buang sampah yang boleh dikitar semula ini ke rumah sampah sahaja, mereka boleh bawa ke kios kitar semula ini untuk sedikit sebanyak menampung sewa bulanan atau ditukar kepada barangan keperluan.

"Jadi secara tidak langsung ia akan dapat menjadi alternatif buat mereka yang tak mampu bayar sewa sekali gus mengurangkan jumlah mereka yang mempunyai tunggakan, walaupun sewa hanyalah RM124 ada yang tak mampu dan punya kekangan untuk bayar," katanya kepada Bernama.

Mahadi berkata projek rintis menawarkan pertukaran barangan kitar semula kepada barangan keperluan asas seperti minyak masak dan tepung dijalankan di PPR Seri Alam, PPR Beringin dan PPR Seksyen 2 Wangsa Maju manakala pertukaran kepada pembayaran sewa rumah PPR dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Sosio Ekonomi dan Alam Sekitar di PPR Pekan Kepong dan PPR Wangsa Sari.

Katanya, kutipan barangan kitar semula itu dibuat mengikut jadual iaitu dua atau tiga kali seminggu bagi PPR Seri Alam, PPR Beringin dan PPR Seksyen 2 Wangsa Maju manakala seminggu sekali bagi PPR Pekan Kepong dan PPR Wangsa Sari.

Beliau berkata DBKL akan mewujudkan tiga lagi kios menjelang hujung tahun ini bagi memastikan setiap Parlimen di Kuala Lumpur mempunyai kios terbabit sekali gus meluaskan penglibatan lebih ramai warga kota.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Wangsa Sari Mazlan Abdul Latif, berkata pelaksanaan itu dilihat dapat memberi kesedaran kepada penduduk selain menggalakkan amalan kitar semula.

"Harga sekilo minyak masak baharu pun sekitar RM2, daripada kita buang ke rumah sampah lebih baiklah kita beri kepada kios seperti ini, seolah-olah dapat semula nilai minyak yang telah digunakan selain tidak mencemarkan alam," katanya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga PPR Beringin Che Roziani Mohd Shariff pula berkata inisiatif itu bukan sahaja memudahkan penduduk menyerahkan barangan kitar semula malah menyumbang kepada persekitaran perumahan yang lebih bersih dan kemas, selain membantu penjanaan pendapatan sampingan.

"Selalunya penduduk suka kumpul barangan kitar semula ini di koridor dan bawah tangga sementara nak dijual kepada vendor yang selain tidak bersih ia juga menghalang laluan, tapi sekarang lebih cepat dan mudah hantar ke sini (kios)," katanya.

Barangan kitar semula seperti tin, kertas dan plastik akan dijual semula kepada vendor kitar semula manakala minyak masak terpakai antara lain dijadikan bahan kajian untuk pembangunan penukaran menjadi biodiesel. – BERNAMA

Berita Harian X