Sabtu, 12 Februari 2022 | 6:00pm
Datuk Seri Azalina Othman. - Foto NSTP
Datuk Seri Azalina Othman. - Foto NSTP

Kanak-kanak terbabit konflik undang-undang harus diberi khidmat guaman percuma

KUALA LUMPUR: Semua kanak-kanak yang menghadapi konflik undang-undang harus diberi khidmat guaman secara percuma dari peringkat tahanan hingga selesai proses pengadilan jenayah.

Ia antara enam syor diketengahkan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK) demi memastikan hak kanak-kanak dilindungi sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi JKPK, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, JKPK yang dianggotai lapan Ahli Parlimen lain membuat cadangan itu susulan isu penahanan seorang remaja perempuan yang dipercayai menikam bayi yang baru dilahirkannya sehingga mati di Kemaman, Terengganu, Selasa lalu.

"Dalam hal ini, JKPK khuatir kerana tindakan pertama agensi berkaitan adalah mereman remaja itu yang masih di wad neonatal, bagi siasatan kerana membunuh, tanpa ada penilaian psikologi yang komprehensif atau laporan kebajikan sosial dijalankan, selain tanpa dia diberi sebarang khidmat guaman atau bantuan psikologi yang sepatutnya.

"Remaja perempuan itu sepatutnya diberikan bantuan psikologi dan bantuan guaman dan bukannya ditahan ketika masih dirawat di hospital," kata kenyataan itu.

Azalina menambah, JKPK mengambil maklum remaja itu adalah mangsa rogol dan didakwa membunuh bayinya dalam tempoh 24 jam selepas melahirkan dan pembunuhan bayi itu sepatutnya diklasifikasikan mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan dan bukannya Seksyen 302 akta yang sama.

"Tidak seperti kesalahan membunuh, pembunuhan bayi adalah kesalahan yang boleh dijamin mengikut Kanun Keseksaan," katanya.

Selain Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, lapan Ahli Parlimen lain dalam JKPK ialah Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin), Rubiah Wang (Kota Samarahan), Che Alias Hamid (Kemaman), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik), Fuziah Salleh (Kuantan), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil ( Lembah Pantai) ), Alice Lau (Lanang) dan Hannah Yeoh (Segambut).

Rabu lalu, remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai menikam bayi lelakinya direman tujuh hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Wad Bersalin Hospital Kemaman kerana suspek masih menerima rawatan selepas melahirkan bayi sulungnya, sehari sebelum itu.

Azalina turut membangkitkan perkaitan antara 'neonaticide' iaitu kes wanita yang membunuh bayinya dalam tempoh 24 jam selepas beranak dengan 'infanticide' iaitu kes mengandung secara rahsia secara melahirkan anak tanpa bantuan perubatan serta 1,010 kes pembuangan bayi direkodkan di negara ini antara 2010 hingga Mei 2019, yang mana 64 peratus daripada kes itu bayi ditemui meninggal dunia.

Justeru, katanya, selaras dengan komitmen Malaysia melaksanakan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini, JKPK mencadangkan enam syor dalam isu berkaitan perlindungan undang-undang terhadap kanak-kanak di negara ini.

Pertama, semua kanak-kanak yang berdepan tindakan undang-undang perlu mendapat bantuan guaman mulai dari mereka ditahan sehingga proses mendapatkan keadilan bagi memastikan hak mereka terus dilindungi sepenuhnya.

Kedua, pelbagai pihak berkepentingan dalam sistem keadilan jenayah, termasuk Majlis Peguam, Jabatan Peguam Negara, polis dan Pejabat Ketua Pendaftar Kanak-Kanak bekerjasama bagi memastikan adanya bantuan guaman untuk semua kanak-kanak yang berdepan tindakan undang-undang di Malaysia.

Ketiga, jawatankuasa juga mencadangkan pendidikan reproduktif, seksualiti dan seks diperkenalkan di sekolah bagi memberikan perlindungan yang lebih baik kepada kanak-kanak daripada kes rogol, kehamilan tidak diinginkan dan pembuangan bayi.

Keempat, pihak berkuasa yang menguatkuasa undang-undang perlu mematuhi perlindungan kanak-kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, termasuk layanan kepada kanak-kanak ketika mereka ditahan.

Kelima, semua siasatan mengikut Seksyen 299 hingga Seksyen 318 Kanun Keseksaan diletakkan di bawah pemantauan seorang pelindung berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001, serta diberikan sokongan psikologi/psikiatri secara mandatori dalam apa keadaan sekali pun.

Keenam, kempen kesedaran perlu dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mencegah pembuangan bayi dan menawarkan sokongan dan bantuan kepada ibu muda yang belum berkahwin.

Kanak-kanak dengan konflik undang-undang harus diberi khidmat guaman percuma
Kanak-kanak dengan konflik undang-undang harus diberi khidmat guaman percuma

Berita Harian X