Sabtu, 12 Februari 2022 | 4:08pm
Kerajaan perlu desak pemaju menurunkan harga rumah. - Foto hiasan
Kerajaan perlu desak pemaju menurunkan harga rumah. - Foto hiasan

Naikkan gaji, turun harga rumah bantu B40, M40 miliki kediaman

KUALA LUMPUR: Golongan pekerja muda menggesa kerajaan terus mengambil langkah drastik bagi memastikan belia kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus sederhana (M40) dapat memiliki rumah pertama.

Ia termasuk meningkatkan gaji minimum graduan atau pekerja muda yang kini rata-rata masih di bawah RM1,800, selain memantau harga rumah yang ditawarkan.

Pekerja swasta, Zul Hakim Zulkifli, 29, berkata adalah perkara biasa belia yang mempunyai pekerjaan atau berkahwin mengimpikan rumah sendiri pada usia muda, namun ia bukanlah satu kewajipan, sebaliknya melihat kemampuan masing-masing.

Zul Hakim Zulkifli.
Zul Hakim Zulkifli.

"Harga rumah yang ditawarkan kini ada yang terlalu tinggi seterusnya menyukarkan proses pembiayaan pinjaman daripada bank. Apabila pendapatan gaji minimum rendah, pastinya ia membebankan untuk membayar komitmen bulanan termasuklah kenderaan peribadi, keperluan asas dan simpanan kecemasan.

"Ada juga anak muda, walaupun sudah berkahwin, memilih memilih tinggal bersama ibu bapa untuk menyimpan wang dengan melakukan kerja sampingan selain pendapatan daripada kerja hakiki bagi memastikan dapat membeli rumah sendiri," katanya.

Semalam, BH melaporkan, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata harga mahal punca B40 dan M40 gagal membeli rumah, bukan disebabkan isu pembiayaan kerana bank menyokong pemilikan rumah apabila meluluskan pinjaman lebih RM60 bilion kepada pembeli rumah kali pertama sepanjang 2021, termasuk lebih 60 peratus untuk hartanah berharga RM500,000 dan ke bawah.

Zul Hakim yang berharap pihak berwajib mengkaji semula isu berkaitan pemilikan rumah pertama golongan B40 dan M40, berkata golongan muda kini terhimpit dengan situasi, namun menjadi harapannya agar kerajaan memberi penyelesaian menyeluruh, bukan sahaja berkaitan isu harga rumah mahal tetapi mekanisme pembiayaan dan gaji minimum.

'Saya berharap ia dapat dinilai secara menyeluruh kerana situasi kini mendesak selepas dunia dilanda pandemik. Isu pemilikan rumah bagi golongan muda bukan asing. Sebagai orang muda, ramai yang bersungguh dalam mencari pendapatan lebihan walaupun mempunyai pendapatan tetap.

'Istilah 'Melayu Malas' atau orang muda malas tidak boleh dipakai lagi memandangkan ramai yang kini dalam situasi genting, lagi terhimpit dengan isu harga rumah tinggi, pembiayaan tidak lepas dan gaji minimum terlalu rendah untuk memilik sebuah rumah," katanya.

Zakwan Khidzir.
Zakwan Khidzir.

Bagi penyusun iklan, Zakwan Khidzir, 30, harga rumah sekitar bandar sememangnya tinggi dan mustahil untuk dimiliki golongan belia pada masa kini.

"Mungkin ada yang menyalahkan pihak bank dengan kesukaran meluluskan pembiayaan pinjaman, namun secara dasarnya, jika bank memudahkan urusan itu, ia masih tidak menyelesaikan masalah secara menyeluruh. Kerajaan perlu mendesak pemaju menurunkan harga rumah.

"Ia dengan sama ada kenakan cukai pengosongan atau cukai lebih tinggi kepada pembeli bukan rumah pertama yang berniat menyewakan semula kediaman dibeli mereka, sekurang-kurangnya hak golongan muda terbela," katanya.

Siti Baizuria Mohd Sehat.
Siti Baizuria Mohd Sehat.

Pekerja swasta, Siti Baizuria Mohd Sehat, 28, berkata faktor kos sara hidup tinggi ketika ini menghalang B40 dan M40 memiliki rumah pertama mereka dengan gaji minimum masih di bawah RM2,000.

"Orang muda ada pelbagai komitmen lain, termasuk menyewa rumah, keperluan asas, peruntukan perubatan, insurans, ibu bapa dan keluarga. Kerajaan perlu menilai semula secara efektif pendapatan diterima orang muda kini.

"Bukanlah tidak bersyukur, namun jika dilihat gaji minimum graduan baharu tidak sampai RM2,000, ia menyukarkan belia mendapat rumah sendiri. Bantulah golongan B40 dan M40 yang masih tidak mempunyai rumah sendiri. Semua pihak perlu mengembleng usaha sejajar sasaran Satu Keluarga Satu Rumah," katanya.

Berita Harian X