Sabtu, 12 Februari 2022 | 2:41pm
Kerajaan akan meneliti sama ada wujud keperluan untuk penjawat awam bekerja dari rumah. - NSTP/Aizuddin Saad
Kerajaan akan meneliti sama ada wujud keperluan untuk penjawat awam bekerja dari rumah. - NSTP/Aizuddin Saad

Kerajaan teliti keperluan bekerja dari rumah

KUALA TERENGGANU: Kerajaan akan menilai keperluan untuk penjawat awam bekerja dari rumah (BDR) susulan kenaikan mendadak kes jangkitan COVID-19 akibat varian Omicron ketika ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata pihaknya sedang memperhalusi keperluan itu dan berbincang secara lanjut di peringkat jemaah menteri sebelum ia boleh dilaksanakan terhadap 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.

"Saya tak boleh kata apa lagi mengenai perkara ini (BDR), tetapi kita akan teliti sebab perkara ini perlu dibincang di peringkat jemaah menteri dan kita akan patuh.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

"Cuma kita minta berhati-hati dan perkara paling mustahak untuk kita (penjawat awam) ialah patuh pada prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dengan mengikut arahan yang diberikan pihak berwajib," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Tanggungjawab Sosial Korporat) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu Bersama Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Kastam di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bayas Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 88 asnaf menerima bantuan bakul makanan, wang tunai dan kerusi roda disumbangkan JKDM dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan negara kini sudah sepenuhnya berdepan gelombang varian Omicron dan kes harian COVID-19 yang dijangka terus meningkat.

Ketika ini, peningkatan kes jangkitan COVID-19 melebihi kadar 20,000 kes sehari angkara gelombang Omicron.

Berita Harian X