Sabtu, 12 Februari 2022 | 1:19pm
BNM disaran mempertimbangkan beberapa mekanisme pembiayaan sosial bagi mempertingkatkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40 dan M40. - NSTP/Aswadi Alias
BNM disaran mempertimbangkan beberapa mekanisme pembiayaan sosial bagi mempertingkatkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40 dan M40. - NSTP/Aswadi Alias

Mekanisme pembiayaan sosial boleh tingkat pemilikan rumah

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) disaran mempertimbangkan beberapa mekanisme pembiayaan sosial bagi mempertingkatkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40 dan M40, sejajar sasaran Satu Keluarga Satu Rumah.

Profesor Ekonomi di Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng, berkata elemen pembiayaan sosial adalah dalam bentuk kredit terarah, siling kadar faedah dan subsidi yang dapat membantu mengurangkan kemungkinan catuan kredit dihadapi isi rumah yang mudah terjejas.

"Kumpulan B40 dan M40 biasanya menghadapi halangan lebih besar dalam mendapatkan pembiayaan, terutama jika mereka dinilai institusi kewangan untuk berada dalam kategori risiko kredit tinggi.

"Oleh itu, sebarang inisiatif untuk memudahkan akses kepada pembiayaan, selain mengekalkan piawaian berhemat, akan meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) bersetuju meletakkan sasaran, Satu Keluarga Satu Rumah.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, BNM perlu melihat kembali model pembiayaan perumahan untuk memudahkan pemilikan kediaman dalam kalangan B40 dan M40, selaras matlamat Satu Keluarga Satu Rumah.

Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan institusi kewangan memudahkan pinjaman untuk kumpulan berkenaan membeli rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik, dengan fokus diberi untuk pembelian terus dan sewa untuk beli.

Mengulas lanjut, Yeah berkata, pembiayaan berasaskan sistem perbankan semasa adalah mekanisme terbaik untuk menyokong pemilikan rumah bagi kedua-dua kumpulan itu berdasarkan sistem pengurusan risikonya yang baik.

Sementara itu, Profesor Ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Dr Geoffrey Williams pula mencadangkan bank pusat mengubah suai syarat dalam model pembiayaan pinjaman.

Beliau berkata, institusi kewangan boleh menawarkan pinjaman pelbagai generasi yang mengambil kira ahli keluarga dan keupayaan mereka untuk membuat pembayaran, berbanding jadual pembayaran balik pinjaman yang tetap.

"Kemungkinan jadual pembayaran balik boleh menjadi lebih panjang atau rumah itu akan menjadi sebahagian milik penyedia kewangan walaupun pada akhir tempoh pinjaman.

"Oleh itu, ia akan kembali, sebahagiannya kepada keluarga dan sebahagiannya kepada bank selepas peminjam meninggal dunia," katanya.

Selain itu, beliau berkata, bank boleh menawarkan pinjaman sewa untuk beli apabila bayaran balik pinjaman ditetapkan kepada kos sewa, dengan rumah sebagai cagaran berbanding pembayaran balik pinjaman ditetapkan kepada kos pinjaman.

"Satu lagi (pilihan) ialah penyewaan jangka panjang berdasarkan kegunaan rumah, berbanding pemilikan rumah. Bukan semua orang perlu memiliki rumah.

"Pada amnya, kita memerlukan portfolio pilihan luas kepada orang ramai dalam pasaran perumahan, untuk menyesuaikan dengan keperluan mereka dalam jangka panjang," katanya.

Williams turut menekankan keperluan untuk melakukan pembaharuan terhadap bahagian penawaran dalam pasaran perumahan, mengurangkan kartel dan menamatkan subsidi kepada pemaju rumah yang mengganggu pasaran. - BERNAMA

Berita Harian X