Jumaat, 11 Februari 2022 | 7:57pm
(Gambar fail) Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman.
(Gambar fail) Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman.

UPM gariskan 11 aspirasi lonjak pencapaian, kecemerlangan

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) menggariskan 11 aspirasi penting bagi melonjakkan pencapaian dan kecemerlangan institusi sebagai menara ilmu bagi 2022.

Aspirasi terbabit ialah Menakhoda Pertanian dan Pusat Rujukan Pengembangan, Melahirkan Pelajar sebagai Sosok Warganegara yang Baik, Merealisasikan Kampus Pintar, Memartabat Penyelidikan untuk Negara, Menjuarai Universiti untuk Masyarakat, dan Merancakkan UPM Global.

Selain itu, Mengekalkan Reputasi UPM sebagai Universiti Paling Lestari, Memugar Cakna, Menjulang Bakti, Memperhebat Prakarsa Kesejahteraan Kampus, Membingkas Pendanaan Universiti dan Melibat Sama Alumni untuk Kelangsungan Universiti.

Naib Canselornya, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman, berkata bagi penambahbaikan suasana kerja pegawai akademik yang lebih sejahtera, UPM pada dasarnya telah bersetuju memperakukan cadangan meminda peraturan kehadiran pegawai akademik di universiti.

"Dalam hal ini, pegawai akademik atau pensyarah dibenarkan 'remote working' dan merakam kehadiran dari luar kampus untuk dua hari seminggu, manakala tiga hari selebihnya perlu hadir bekerja dan merekodkan dalam sistem perakam di universiti," katanya ketika menyampaikan Naratif Naib Canselor bertajuk 'Sederap Melangkah Menuju Al-Falah', hari ini.

Seterusnya, menurut kenyataan dikeluarkan Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM, universiti itu juga akan terus memacu pertanian pintar.

UPM bakal menawarkan Program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar bermula Semester 1, Sesi 2022/2023.

"Program ini memperoleh akreditasi daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan akan ditawarkan dalam Mod Pelbagai (Mod Kerja Kursus dan Mod Industri).

"Kurikulum program ini dibangun berdasarkan pekerjaan sebenar yang membabitkan pengoperasian teknologi pintar dan integrasi sistem digital serta memberi penekanan khusus kepada pendekatan berdasarkan tugas (task-based).

"Program ini dijangka dapat melahirkan teknologis pertanian berpengetahuan serta kompeten untuk mengendalikan teknologi pertanian pintar yang lestari, dan seterusnya membangun serta mengurus pengeluaran pertanian berasaskan sistem pertanian pintar," menurut kenyataan itu.

Mengambil manfaat pendigitalan pula, UPM turut memperkenalkan aplikasi Mobile Apps Smart Putra®Staf.

Menurut kenyataan itu lagi, aplikasi berkenaan membolehkan semua staf UPM mengurus selia urusan cuti, perakam waktu, slip gaji, penilaian risiko COVID-19 dan pelbagai kemudahan berkaitan keperluan staf melalui telefon Android atau iOS.

Selain itu, UPM berusaha menyantuni kebebasan berpolitik pelajar kesan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta pelaksanaan Undi18, dengan pemerkasaan literasi politik dalam kalangan pelajar universiti.

Dalam hal itu, UPM akan sentiasa berusaha memantapkan literasi politik dalam kalangan pelajar melalui pelbagai kaedah dan pendekatan.

Mohd Roslan berkata, antara pendekatan itu ialah memberi penekanan kepada pembentukan nilai bersama dalam kebebasan berpolitik pelajar berdasarkan nilai teras universiti.

Selain itu, Unit Literasi dan Advokasi Politik bawah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) telah ditubuhkan untuk menjalankan kajian dan advokasi awam berkaitan penyertaan politik anak muda, khususnya Undi18.

Dalam pada itu, menurut kenyataan berkenaan, seiring peranan alumni sebagai pemangkin kecemerlangan UPM, satu lagi projek besar dan bakal mencipta sejarah dengan menakluk Puncak Everest.

Katanya, Alumni Kelas 1990, Ravichandran Tharumalingam bakal mengadakan Misi Ekspedisi UPM@Everest yang dijadualkan bermula pertengahan Mac dan berakhir pada Julai depan.

Sementara itu pada Majlis Naratif Naib Canselor, hari ini, staf universiti yang aktif dalam advokasi awam di media, diberi pengiktirafan melalui Anugerah Visibiliti Media 2021.

Berita Harian X