Jumaat, 11 Februari 2022 | 5:48pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Majikan belum sedia bayar gaji minimum RM1,500

KUALA LUMPUR: Sebarang kenaikan kadar gaji minimum hanya boleh dilaksanakan jika perniagaan kembali pulih sepenuhnya dan negara tidak lagi berdepan isu pengangguran.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata penetapan gaji minimum yang lebih tinggi pada masa ini akan menjejaskan usaha majikan sektor swasta untuk memulihkan perniagaan mereka.

"Keadaan ini akan menyukarkan banyak syarikat syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutamanya PKS mikro yang terpaksa bergantung kepada insentif diberikan kerajaan.

"Insentif ini termasuk dalam Belanjawan 2022 seperti Program Subsidi Upah (PSU) untuk meneruskan perniagaan mereka," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) menyarankan kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,350 daripada RM1,200 bermula bulan depan.

Pengerusinya, Halim Husin, dilaporkan berkata ia boleh dilaksanakan berikutan arahan gaji minimum bagi 2020 lupus tahun lalu, sebelum gaji minimum baharu ditingkatkan kepada RM1,500 pada Januari tahun depan.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, sebarang peningkatan kadar gaji minimum pada masa ini akan meningkatkan kos operasi majikan.

Jelasnya, ia akan menyebabkan keadaan bertambah sukar kerana pendapatan kebanyakan majikan menurun antara 20 hingga 60 peratus berbanding kos operasi yang meningkat.

"Keadaan ini menyebabkan banyak majikan terpaksa mengambil langkah drastik seperti pembekuan kenaikan tahunan dan bonus, pembekuan pengambilan pekerja baharu, pemotongan gaji dan jika perlu terpaksa memberhentikan pekerja," katanya.

Sementara itu, Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, berpandangan cadangan menaikkan kadar gaji minimum RM1,350 bulan depan seperti dikemukakan MTEM itu tidak wajar.

Katanya, cadangan itu hanya akan menyukarkan lagi pelaksanaan gaji minimum RM1,500 menjelang tahun depan.

"Bagi MTUC, adalah lebih baik dinaikkan terus kepada RM1,500 seperti yang dirancang berbanding ditetapkan seperti dicadangkan MTEM," katanya.

Berita Harian X