Jumaat, 11 Februari 2022 | 4:11pm
Terdapat pelbagai skim jaminan untuk menyokong pemilikan rumah, khususnya untuk kumpulan berpendapatan rendah - Foto hiasan
Terdapat pelbagai skim jaminan untuk menyokong pemilikan rumah, khususnya untuk kumpulan berpendapatan rendah - Foto hiasan

Harga mahal punca B40, M40 sukar miliki rumah

KUALA LUMPUR: Harga mahal menjadi punca golongan B40 dan M40 tidak dapat membeli rumah dan bukan disebabkan isu pembiayaan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, bank-bank di negara ini amat menyokong inisiatif pemilikan rumah apabila meluluskan pinjaman lebih RM60 bilion kepada pembeli rumah kali pertama sepanjang tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, lebih 60 peratus pinjaman baharu diluluskan untuk hartanah berharga RM500,000 dan ke bawah.

"Selain itu, terdapat pelbagai skim jaminan untuk menyokong pemilikan rumah, khususnya untuk kumpulan berpendapatan rendah.

"Antaranya, Cagamas Bhd dengan Skim Rumah Pertamaku dan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk membantu pembeli rumah pertama," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2021 secara maya, semalam.

Nor Shamsiah mengulas saranan daripada kerajaan supaya model pembiayaan rumah disemak semula bagi memudahkan pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan berpendapatan M40 dan B40.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam meminta institusi kewangan memudahkan akses kewangan kepada kumpulan B40 dan M40 bagi membolehkan mereka membeli Projek Perumahan Rakyat dan rumah mampu milik.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, bank pusat itu memahami bahawa banyak perkara sudah berubah sejak pandemik, termasuk realiti mengenai permintaan perumahan.

"Model pembiayaan juga mungkin perlu diselaraskan. Sebagai contoh, apabila kerja dari rumah menjadi kebiasaan, bakal pembeli mungkin terbuka untuk membeli hartanah di luar pusat bandar.

"Selain itu, sudah ada skim pembiayaan sewa untuk dimiliki. Bagi mereka yang bekerja dalam ekonomi gig dengan sumber pendapatan yang sukar dijangka, akses kepada data lain seperti bil utiliti dan pembayaran sewa boleh menjadi sumber penilaian kredit oleh pemberi pinjaman.

"Syor ini sudah dinyatakan di dalam Pelan Tindakan Sektor Kewangan BNM 2022-2026 yang diterbitkan baru-baru ini," katanya.

Gabenor bank pusat itu berkata, BNM juga menekankan keperluan untuk melihat beberapa isu lain membabitkan perumahan untuk rakyat.

"Kami perlu menangani perkara ini walaupun sudah memulakan penyelesaian yang lebih inovatif termasuk menangani ketidakpadanan bekalan dan permintaan yang meruncing, meningkatkan ketelusan harga rumah serta memastikan lebih banyak pasaran sewa disediakan untuk golongan yang tidak bersedia atau tidak mahu memiliki rumah," katanya.

Berita Harian X