Khamis, 10 Februari 2022 | 6:47pm
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Menteri KPKT, REHDA diarah tangani isu kos bahan binaan, kartel industri

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) diarah menangani isu peningkatan kos bahan binaan seperti besi dan keluli serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.

Isu itu antara dibincangkan mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) hari ini yang turut mencadangkan membuka permit import (AP) bahan terbabit kepada semua jika peningkatan harga berpunca daripada AP.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata MPMMN melahirkan kebimbangan mengenai kos bahan binaan yang semakin meningkat.

"Kebimbingan mesyuarat adalah kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.

"Justeru, Menteri KPKT dan REHDA diarah menangani perkara ini. Jika ia berpunca daripada AP, mesyuarat mencadangkan supaya ia dibuka kepada semua," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat berlangsung dalam talian, turut dihadiri Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara serta Gabenor BNM.

MPMMN adalah platform membincang dan menyelaras hala tuju perancangan, pelarasan serta pemantauan bagi penyediaan rumah mampu milik di seluruh negara selaras matlamat 'Satu Keluarga Satu Rumah'.

Berita Harian X