Khamis, 10 Februari 2022 | 6:41pm
Ismail Sabri (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) secara maya, hari ini.
Ismail Sabri (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) secara maya, hari ini.

MPMMN rangka strategi sedia, laksana 500,000 unit rumah mampu milik

KUALA LUMPUR: Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan merangka strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, strategi itu akan dilaksanaka sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) membabitkan kerajaan Persekutuan, negeri dan pemaju perumahan swasta.

"Mesyuarat hari ini bersetuju menetapkan hala tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.

"Pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen keterhubungan dan akses internet seperti 'fibre to the home' (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa," katanya dalam kenyataan.

Mesyuarat MPMMN berlangsung dalam talian, turut dihadiri Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara serta Gabenor BNM.

MPMMN adalah platform membincang dan menyelaras hala tuju perancangan, pelarasan serta pemantauan bagi penyediaan rumah mampu milik di seluruh negara selaras matlamat 'Satu Keluarga Satu Rumah'.

Ismail Sabri berkata, kerajaan komited memastikan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan kempen pemilikan rumah, 'Home Ownership Programme' (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan dan pembiayaan perumahan serta program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam memiliki rumah.

Perdana Menteri berkata, Bank Negara juga diminta melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya institusi kewangan memudahkan pinjaman perumahan bagi golongan B40 dan M40.

"Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi dan kerajaan negeri menyediakan tanah, manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan.

"Kerajaan komited menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda selain memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah," katanya.

Intipati Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara
Intipati Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara

Berita Harian X