Khamis, 10 Februari 2022 | 8:24am
Pembukaan sempadan dialu-alukan dalam usaha memulihkan ekonomi, khususnya sektor pelancongan namun pelaksanaan SOP ketat perlu diberi perhatian. - Foto hiasan
Pembukaan sempadan dialu-alukan dalam usaha memulihkan ekonomi, khususnya sektor pelancongan namun pelaksanaan SOP ketat perlu diberi perhatian. - Foto hiasan

Pemain industri pelancongan perlukan penjelasan awal SOP pembukaan sempadan

KOTA KINABALU: Pemain industri sektor pelancongan perlu diberikan penjelasan terperinci lebih awal mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelancong luar, berikutan keputusan kerajaan membuka sempadan negara mulai 1 Mac depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata walaupun keputusan itu dialu-alukan dalam usaha memulihkan ekonomi, khususnya sektor pelancongan, pelaksanaan SOP ketat perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan kemasukan pelancong asing tidak memburukkan lagi jangkitan COVID-19 di negara ini yang kembali meningkat disebabkan penularan varian Omicron.

"Kita di Sabah memang menyokong cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang mengesyorkan pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa perlu mengenakan kuarantin wajib.

"Malah, kita berpendapat, pembukaan sempadan negara perlu dilakukan secepat mungkin memandangkan kita, khususnya di Sabah memerlukan pasaran antarabangsa untuk memulihkan sektor pelancongan.

"Bagaimanapun, SOP yang ketat perlu disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta menjelaskan secara terperinci kepada pemain industri bagi memastikan mereka bersedia sebelum pembukaan sempadan negara," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kelmarin, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan persetujuan badan berkenaan mengenai cadangan pembukaan semula sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib bermula seawal 1 Mac depan.

Beliau bagaimanapun, menegaskan pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Sementara itu, Jafry berkata kementeriannya juga bersedia untuk mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak termasuk pemain industri dalam membuat persediaan awal.

Pada masa sama, katanya Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah juga merangka kempen promosi dan pemasaran bagi memastikan pelancong luar negara menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan utama mereka.

Jafry berkata, pelancong luar yang mahu ke Sabah disarankan supaya mengambil pelan perlindungan insurans yang meliputi kos perubatan dan kemasukan ke hospital akibat kemalangan dan penyakit termasuk jangkitan COVID-19.

"Matlamat sekarang ini adalah kita mahu membuka sempadan agar industri pelancongan terus hidup tetapi dalam masa sama memastikan agar penularan COVID-19 dapat dikawal," katanya.

Ketika ini, katanya kerajaan negeri hanya membenarkan aktiviti pelancongan domestik, manakala cadangan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura (VTL) juga masih di peringkat perbincangan dan belum dilaksanakan di Sabah.

Berita Harian X