Rabu, 9 Februari 2022 | 7:11pm
Ayob Khan (dua kanan) bersama Naiyl Latypov (dua kiri) selepas majlis penyerahan sijil kursus dalam talian memerangi aktiviti pengedaran dadah antarabangsa di Kedutaan Russia petang tadi. - Foto Bernama
Ayob Khan (dua kanan) bersama Naiyl Latypov (dua kiri) selepas majlis penyerahan sijil kursus dalam talian memerangi aktiviti pengedaran dadah antarabangsa di Kedutaan Russia petang tadi. - Foto Bernama

PDRM kukuh kerjasama dengan agensi antarabangsa perangi dadah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa dalam memerangi sindiket dadah melalui pelaksanaan lebih banyak operasi bersama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kerjasama dengan negara lain dari segi perkongsian risikan ketika ini berada pada tahap terbaik

"Bagaimanapun, kita perlu memperkukuhkan operasi penguatkuasaan secara bersama dalam menumpaskan rangkaian dan sindiket dadah antarabangsa," katanya selepas menghadiri majlis pemberian sijil penyertaan kursus dalam talian berkaitan memerangi aktiviti pengedaran dadah antarabangsa di Kedutaan Russia di sini, petang tadi.

Ayob Khan berkata, sindiket dadah antarabangsa menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum dadah diseludup ke negara lain.

"Hampir RM1 bilion dadah dirampas tahun lalu, ia menunjukkan peningkatan lebih 100 peratus berbanding 2020," katanya.

Ayob Khan berkata, kursus yang dihadiri pegawai JSJN Bukit Aman itu secara tidak langsung dapat mempertingkatkan lagi kepakaran dalam menangani isu dadah.

Sementara itu, Duta Besar Russia ke Malaysia, Naiyl Latypov berkata, sijil penyertaan kursus dalam talian itu diberikan kepada pegawai Polis Asean (Aseanapol) termasuk pegawai dari PDRM.

"Kita menyokong Aseanapol dalam usaha mereka mengadakan kursus latihan khusus dan berkongsi pengalamannya dengan pegawai dari negara anggota Aseanapol," katanya.

Berita Harian X