Selasa, 8 Februari 2022 | 4:57pm
Majikan wajar diberi kebebasan untuk membenarkan pekerja kembali BDR susulan lonjakan varian Omicron. - Foto NSTP
Majikan wajar diberi kebebasan untuk membenarkan pekerja kembali BDR susulan lonjakan varian Omicron. - Foto NSTP

Majikan perlu diberikan pilihan bekerja dari rumah - MTUC

KUALA LUMPUR: Majikan wajar diberi kebebasan untuk membenarkan pekerja kembali bekerja dari rumah (BDR) susulan lonjakan varian Omicron.

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata ada sesetengah majikan yang tidak boleh mengimplimentasikan cadangan itu, khususnya membabitkan operasi.

Beliau berkata, majikan juga boleh membuat pembahagian tugasan jika keadaan memerlukan.

"MTUC berpendapat BDR boleh memberi kesan kepada syarikat yang memfokuskan perkhidmatan dan operasi.

"Namun, jika BDR tidak menjejaskan operasi maka majikan juga boleh mempertimbangkan cadangan itu," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dalam keadaan penularan ketika ini keperluan BDR masih tidak mendesak namun majikan perlu bersedia.

"Dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pasti boleh mengawal penularan wabak. Keadaan penularan ketika ini masih terkawal dan keperluan BDR masih boleh dijadikan pilihan majikan.

"Apa yang penting, semua pihak perlu memastikan pematuhan SOP dipatuhi supaya tiada penularan berlaku dalam kalangan pekerja," katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) sangat menggalakkan majikan di negara ini untuk meneruskan dasar BDR bagi memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat untuk pekerja.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata kementerian juga menggalakkan sistem penggiliran kehadiran ke pejabat ketika kes COVID-19 semakin meningkat berikutan jangkitan varian Omicron.

Berita Harian X