Sabtu, 5 Februari 2022 | 5:00pm
Dari kiri, Ayda Kamaruddin, Luqman Ab Rahim dan Emy Farina Malek.
Dari kiri, Ayda Kamaruddin, Luqman Ab Rahim dan Emy Farina Malek.

Projek SMART di bandar padat penduduk bukti kerajaan prihatin jaga rakyat

KUALA LUMPUR: Projek Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) yang bakal dibina di bandar berkepadatan tinggi sebagai langkah jangka panjang untuk menyelesaikan masalah banjir, menjadi bukti kerajaan prihatin memelihara keselamatan rakyat daripada menjadi mangsa bencana.

Bagi penduduk Shah Alam, cadangan projek itu disambut baik bagi memastikan bencana buruk yang berlaku hingga mengakibatkan kerugian besar pada Disember lalu tidak berulang lagi.

Eksekutif media, Ayda Kamaruddin, 35, berkata tragedi terperangkap dalam banjir selama lebih 24 jam pada Disember lalu meninggalkan trauma berpanjangan kepadanya dan tidak sanggup untuk kembali mengharungi semula peristiwa itu.

Katanya, apabila kerajaan memberi perhatian penting dalam pengurusan banjir seperti mengadakan terowong SMART, kota takungan pinggir sungai dan membangunkan sistem amaran berdasarkan Aritificial Intelligence (IA), ia sesuatu yang perlu diterima baik oleh semua masyarakat.

"Saya amat setuju dengan pengumuman dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana ini menunjukkan kerajaan tidak mahu kejadian sama berlaku semula kepada rakyat dan ia penting untuk melindungi bandar yang mempunyai kepadatan tinggi.

"Sebagai penduduk Shah Alam, saya sendiri sukar percaya terbabit dalam kejadian banjir seperti itu, malah turut terperangkap.

"Mungkin nasib saya lebih baik berbanding mereka yang hilang punca ketika kejadian, malah mengalami kerosakan harta benda yang tidak dapat digambarkan," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dilaporkan turut bersetuju secara dasar bagi membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti 'sponge city' di China.

Ia antara cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang dipersetujui secara dasar pada mesyuarat itu.

Ismail Sabri berkata, KASA turut mencadangkan untuk mewujudkan takungan air atau 'kota takungan pinggir sungai' seperti dilaksanakan di Belanda.

Ayda berkata, apabila pembangunan sedemikian dibina, penduduk kawasan sekitar akan menerima manfaat dari segi ekonomi dan sebagainya.

Sementara itu, pegawai swasta, Luqman Ab Rahim, 36, pula berkata, dia mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri dan melihat ia rancangan jangka panjang kerajaan untuk mengelak kejadian sama berulang.

"Sebagai seorang yang terkesan akibat banjir pada akhir tahun lalu, saya amat mengharapkan rancangan ini dapat dilaksanakan bukan saja bagi penduduk kawasan bandar, tetapi juga menumpukan kepada penduduk luar bandar.

"Antara perkara perlu kerajaan beri komitmen dalam pengurusan bencana alam adalah penjagaan alam sekitar iaitu memberi tumpuan terhadap aktiviti penebangan hutan yang boleh mengakibatkan banjir dan bencana alam lain.

"Penebangan hutan patut dikurangkan terutama di kawasan selalu terkesan akibat banjir," katanya.

Usahawan, Emy Farina Malek, 36, turut menzahirkan perkara sama khususnya berkaitan teknologi AI yang akan diguna pakai kerajaan dalam sistem amaran awal banjir.

"Rumah saya di Shah Alam dinaiki air pada 18 Disember lalu dan ia menimbulkan suasana panik yang menakutkan bagi saya kerana kali pertama berdepan situasi itu.

"Saya tidak tahu kenapa paras air tiba-tiba naik sangat cepat dan hanya keselamatan anak saja yang difikirkan ketika itu.

"Justeru, apabila kerajaan mahu menumpukan kepada amaran awal banjir secara meluas kepada orang ramai, ia sangat baik kerana masyarakat juga sudah bersedia dan jika ia dibangunkan segera, saya yakin jumlah kerosakan dan kerugian harta benda dapat dikurangkan," katanya.

Berita Harian X