Jumaat, 4 Februari 2022 | 6:18pm
Kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 berdepan risiko 40 kali ganda untuk mengalami kesan kesihatan berpanjangan sekiranya tidak diberikan suntikan imunisasi. - fotoBERNAMA
Kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 berdepan risiko 40 kali ganda untuk mengalami kesan kesihatan berpanjangan sekiranya tidak diberikan suntikan imunisasi. - fotoBERNAMA

Risiko kesihatan 40 kali ganda tanpa vaksin

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 berdepan risiko 40 kali ganda untuk mengalami kesan kesihatan berpanjangan sekiranya tidak diberikan suntikan imunisasi.

Antara risiko yang bakal dihadapi termasuk miokarditis atau radang otot jantung dan sindrom keradangan pelbagai sistem (MISC) sehingga menjejaskan kualiti kehidupan kanak-kanak bagi tempoh lama.

Ketua Jabatan Pakar Perunding Pediatrik dan Perubatan Remaja, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Dr N Thiyagar, berkata perangkaan semasa menyaksikan sebanyak 74 kes, membabitkan bayi hingga kanak-kanak dan remaja berusia 15 tahun mengalami miokarditis berikutan jangkitan COVID-19.

Risiko kesihatan sedemikian bagaimanapun berupaya ditangani menerusi suntikan vaksin COVID-19 yang ketika ini sudah disyorkan untuk remaja dan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Ramai yang sering kaitkan dengan kesan sampingan susulan vaksin (AEFI) seperti miokarditis sehingga mempengaruhi keputusan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka menerima suntikan imunisasi COVID-19.

Data dari luar negara setakat ini menunjukkan bahawa miokarditis lazimnya dialami remaja lelaki, berusia 16 hingga 18 tahun dan risiko sebegini dimaklumkan kepada penjaga.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya memberikan suntikan imunisasi kepada beribu remaja kita di sini, belum ada satu kes kesan sampingan miokarditis yang direkodkan atau kemasukan ke wad selepas mendapat pelalian.

"Sebaliknya, miokarditis dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang belum mendapat suntikan imunisasi adalah 74 kes dan kajian mendapati mereka berdepan risiko 40 kali ganda tanpa perlindungan vaksin," katanya kepada BH, hari ini.

Menyedari kebimbangan ibu bapa, Dr Thiyagar menjelaskan, tanggapan bahawa pembentukan sistem pertahanan badan secara semula jadi, selepas mendapat jangkitan COVID-19 adalah percaturan yang lebih berbahaya.

Beliau berkata, hal itu kerana kanak-kanak yang lazimnya tidak mempunyai sistem pertahanan badan secara sempurna berdepan risiko kesan kesihatan berpanjangan, malah sebarang jangkitan virus tidak semestinya menghasilkan antibodi atau tahap perlindungan mencukupi.

"Memang betul, jika kita dijangkiti COVID-19, badan akan menghasilkan antibodi tetapi risiko jauh lebih tinggi berbanding kaedah terkawal menerusi vaksin, selain kita perlu pertimbangkan kesan kesihatan berpanjangan yang bakal dialami kanak-kanak," katanya.

Ketua Perkhidmatan Pediatrik Hospital Tunku Azizah (HTA), Dr Sabeera Begum Kader Ibrahim, pula mendedahkan seramai 200 pesakit berusia bawah 12 tahun yang dimasukkan ke wad kerana mengalami MISC, susulan penularan gelombang varian Delta sejak Ogos tahun lalu.

Lebih membimbangkan, katanya, 10 kes kematian dalam kelompok usia berkenaan direkodkan berikutan MISC, iaitu keradangan secara serentak pada dua atau lebih organ tubuh badan seperti jantung, paru-paru, buah pinggang, otak, kulit, mata dan usus.

"Sebenarnya ibu bapa bukan enggan, sebaliknya mungkin mereka perlukan sedikit masa untuk mempercayai keberkesanan dan keperluan vaksin bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

"Justeru, langkah terbaik ialah dapatkan nasihat daripada pakar kanak-kanak anda seandainya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai keperluan suntikan vaksin bagi anak mereka.

"Nasihat saya, kanak-kanak dengan rekod masalah kesihatan seperti diabetes, obesiti, asma, komplikasi jantung dan paru-paru adalah golongan paling utama yang wajar mendapatkan vaksin secepat mungkin.

"Ini kerana COVID-19 berupaya menyebabkan masalah kesihatan sebegini menjadi lebih teruk, sehingga mengundang risiko kematian," katanya.

Bagi memastikan perlindungan menyeluruh, Dr Sabeera berkata kanak-kanak yang sihat tubuh badan juga amat digalakkan untuk mendapatkan suntikan imunisasi COVID-19 bagi memutuskan risiko rantaian jangkitan.

Memberi contoh situasi dalam sebuah keluarga, beliau berkata, warga emas yang tinggal di kediaman sama berkemungkinan mempunyai kontraindikasi sehingga tidak membenarkan mereka untuk mengambil suntikan vaksin.

Berita Harian X