Jumaat, 4 Februari 2022 | 3:46pm
Bandar berkepadatan tinggi seperti Shah Alam bakal dilengkapi Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) seperti yang dibina di ibu negara, sebagai langkah jangka panjang untuk menyelesaikan masalah banjir. - Foto hiasan

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam setuju menggariskan lapan langkah strategik bagi menambah baik kaedah pengurusan bencana negara. - Foto PMO

Terowong SMART mungkin dibina di Shah Alam

PUTRAJAYA: Bandar berkepadatan tinggi seperti Shah Alam bakal dilengkapi Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) seperti yang dibina di ibu negara, sebagai langkah jangka panjang untuk menyelesaikan masalah banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata turut dipersetujui secara dasar dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikannya semalam adalah membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti 'sponge city' di China.

Ia adalah antara cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang dipersetujui secara dasar pada mesyuarat itu.

Katanya, KASA turut mencadangkan untuk mewujudkan takungan air atau 'kota takungan pinggir sungai' seperti yang dilaksanakan di Belanda.

"Mesyuarat secara dasarnya turut bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh KASA untuk menyelesaikan masalah banjir antaranya, pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisiko banjir ke kawasan yang lebih tinggi; mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan; meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

"(Turut dicadangkan) membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan serta sistem amaran awal banjir lumpur; menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang usang;

mengawal penebangan hutan dan pemberian kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira risiko banjir," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat itu juga bersetuju terhadap cadangan untuk mengenal pasti pusat pemindahan sementara (PPS) tetap dilengkapi kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam, dan khemah serta kawasan sekolah berasrama yang dijadikan PPS akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir.

Ismail Sabri berkata, pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik.

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam setuju menggariskan lapan langkah strategik bagi menambah baik kaedah pengurusan bencana negara. - Foto PMO
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam setuju menggariskan lapan langkah strategik bagi menambah baik kaedah pengurusan bencana negara. - Foto PMO

Katanya, KASA turut mencadangkan supaya sungai-sungai utama dinaiktaraf, didalam dan dilebarkan; benteng dan ban sungai serta parit ditinggikan; dan membina lebih banyak tebatan banjir.

Selain itu, turut dicadangkan adalah pembinaan empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.

"Penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan peruntukan yang besar membabitkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang, oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir," katanya.

Pada 20 Januari lalu, BH melaporkan, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan bencana banjir memohon kerajaan mengkaji keperluan membina terowong SMART kedua di kawasan Lembah Klang untuk menyelesaikan masalah banjir.

Selain menyuraikan trafik, terowong berkenaan disifatkan berkesan untuk meminimumkan impak banjir di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

Turut dicadangkan Ahmad adalah konsep dalamkan, luruskan, lebarkan atau DLL di sungai-sungai di kawasan banjir perlu dibuat supaya sistem aliran air dapat ditambah baik.

Ia antara cadangan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada mesyuarat itu bagi mengelak berulangnya kejadian banjir penghujung tahun lalu yang mengorbankan 55 nyawa selain memusnahkan harta benda.

Berita Harian X