KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan menganjurkan forum bersempena sambutan ulang tahun ke-15 pasukan berkenaan pada Isnin ini.
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memaklumkan, forum bertemakan 'Past lessons, future excellence and productivity breakthrough' itu akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Bersama PEMUDAH.
"Tema forum menggambarkan perjalanan PEMUDAH selama 15 tahun. Ia bermula pada 7 Februari 2007 sebagai kerjasama awam-swasta untuk meningkatkan ekosistem kawal selia perniagaan dengan mengurangkan beban kawal selia yang tidak diperlukan dalam perniagaan.
"PEMUDAH telah memperkukuh peranannya untuk menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan, merangsang pertumbuhan produktiviti dan meningkatkan daya saing global Malaysia," menurut MPC menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata forum itu bertujuan memaparkan sumbangan pasukan petugas berkenaan dan beliau berharap komuniti perniagaan serta masyarakat mengetahui kewujudan platform itu untuk berkongsi cabaran mereka dalam mematuhi peraturan perniagaan.
"Sebagai contoh, untuk memastikan pasport dapat disiapkan dalam masa sehari, ramai yang tidak tahu bahawa PEMUDAH memudahkan usaha itu bagi memastikan pasport kita dapat disiapkan segera," katanya. - BERNAMA