Jumaat, 4 Februari 2022 | 3:00pm
Seorang pelajar memberi makan ayam kampung yang diternak mereka di Madrasah Tahfiz Ali-Imran dekat Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka.
Seorang pelajar memberi makan ayam kampung yang diternak mereka di Madrasah Tahfiz Ali-Imran dekat Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka.

Pusat tahfiz ternak ayam kampung, tanam sayur demi kelangsungan operasi ketika PKP

MASJID TANAH: Seramai 13 pelajar tahfiz al-Quran di sini, berusaha menternak ayam kampung dan menanam sayur sendiri demi memastikan kelangsungan kehidupan mereka di pusat pengajian itu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.

Pelajar Madrasah Tahfiz Ali-Imran dekat Kampung Rantau Panjang di sini, terpaksa berbuat demikian bagi membolehkan pengurusan memastikan operasi pusat berkenaan bertahan sepanjang PKP 1.0 pada 2020 dan PKP 2.0 pada 2021.

Mudir pusat tahfiz itu, Muhammad Mu'izzuddin Ahmad Amran, berkata beliau terpaksa mengajar pelajarnya usaha menternak ayam kampung dan menanam sayur-sayuran bagi membolehkan mereka membantu menampung perbelanjaan pusat berkenaan.

"Sepanjang PKP, kami masih mengutip yuran pelajar tetapi tidak cukup untuk menampung kos operasi, jadi saya membimbing pelajar menternak ayam kampung dan menanam sayur.

"Alhamdulillah, hasil usaha itu, kami mampu bertahan sepanjang tempoh berkenaan. Setakat ini, kami sudah menjual kira-kira 100 ekor ayam kampung. Kini kami sedang menunggu benih baharu untuk meneruskan ternakan itu yang mendapat sambutan baik.

"Kami juga berterima kasih kepada mereka yang sudi menderma," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Seramai 15 mudir atau pengetua pusat tahfiz sekitar Parlimen Masjid Tanah menerima sumbangan di antara RM1,500 hingga RM3,000 bergantung pada jumlah pelajar masing-masing.

Muhammad Mu'izzuddin menjelaskan, ayam kampung yang diternak mereka kemudiannya dijual RM15 sekilogram dan sayur RM1 seikat, sedikit sebanyak membantu menampung kos operasi pusat itu, selain menerima infak daripada orang ramai.

Timbalan Mudir Madrasah al-Qurra Taboh Naning, Yazid Musa, berkata sepanjang PKP, kebanyakan ibu bapa 70 pelajar bermurah hati memberikan sumbangan wang, selain yuran bulanan RM450.

"Alhamdulillah, kami mampu meneruskan operasi dan tiada pelajar yang terpaksa berhenti meneruskan pengajian," katanya.

Mudir Tahfiz Sulaimaniyah, Tunahan Topal, berkata pusat tahfiz berkenaan bernasib baik kerana seorang ahli perniagaan bergelar Datuk membantu membayar sewa bangunan.

"Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan sewa bangunan as sebab sumbangan ahli perniagaan yang amat bermurah hati itu," katanya yang berasal dari Turki.

Beliau berkata, selain yuran bulanan, ada ibu bapa pelajar yang berpendapatan tinggi memberikan sumbangan bahan makanan sepanjang PKP 1.0 dan 2.0 bagi memastikan pelajar tidak menghadapi masalah untuk meneruskan pengajian.

Katanya, sumbangan ahli perniagaan bergelar Datuk dan ibu bapa pelajar berterusan selepas PKP berakhir, sekali gus membantu pelajar peneruskan pengajian.

Berita Harian X