Khamis, 3 Februari 2022 | 8:21pm

Persatuan, industri vape sokong usaha KKM henti tabiat merokok

KUALA LUMPUR: Beberapa persatuan dan pemain industri vape serta e-rokok menyatakan sokongan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) menamatkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat negara ini menerusi penggubalan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok.

Sokongan itu disuarakan Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Persatuan Pengeluar Cecair Vape Malaysia (MEBA), Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA) dan syarikat pengeluar e-rokok atau sistem penghantaran nikotin elektronik (ENDS), NSTY Worldwide Sdn Bhd (NSTY).

Mereka melihat akta baharu yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini itu sebagai langkah tepat bagi membantu jutaan individu berhenti merokok dengan beralih secara sementara kepada vape dan e-rokok.

Ketua Pegawai Operasi NSTY, Fadtan Yusof, berkata kajian klinikal dan tabiat merokok di beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah menunjukkan ENDS seperti vape dan e-rokok lebih berkesan membantu individu berhenti merokok, berbanding penggunaan terapi gantian nikotin (NRT) seperti gam dan pelekat nikotin.

"Kajian klinikal terhadap NRT mendapati keberkesanannya hanya antara enam hingga 10 peratus dalam membantu perokok berhenti daripada tabiat itu.

"Ini jauh berbeza daripada penggunaan ENDS yang keberkesanannya mencecah 50 hingga 55 peratus berdasarkan kajian di United Kingdom (UK)," katanya pada sidang media yang turut dihadiri wakil MEVTA, MEBA dan MRECA di sink, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, KKM akan menggubal undang-undang baharu dikenali sebagai Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini bagi melahirkan generasi bebas rokok.

Dalam ucapannya di Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi ke-150 di Switzerland, baru-baru ini, Khairy turut menyatakan komitmen Malaysia untuk melaksanakan undang-undang itu bagi melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas tahun 2005.

Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas, berkata pemain industri vape dan e-rokok menyambut baik akta itu kerana pihaknya juga sudah lama memperjuangkan supaya industri berkenaan dikawal selia.

"Kami tiada halangan terhadap akta itu dan had umur berkenaan, apatah lagi kami memang tidak menjual vape dan e-rokok kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah.

"Malah, kami juga mahu bantu orang berhenti merokok dan beberapa negara maju seperti UK sudah mengiktiraf vape sebahagian program berhenti merokok," katanya.

Presiden MEBA, Zapri Muhd Arifin, pula yakin sekitar 1.4 juta daripada tujuh perokok di negara ini akan beralih menggunakan e-rokok bermula tahun hadapan selepas akta itu diperkenalkan sebagai usaha mereka untuk berhenti merokok.

Presiden MEVTA, Mohamad Neezam Talib, pula melihat kawal selia industri vape dan e-rokok menerusi akta itu bakal mengakhiri perjuangan mereka selama sembilan tahun bagi membolehkan lebih 3,000 peniaga menjalankan perniagaan berkenaan secara sah.

"Kami harap akta ini segera dibentang di Parlimen dan memberi situasi menang-menang kepada pengguna, penjual dan pengilang, selain membantu usaha kerajaan mengentikan tabiat merokok," katanya.

Foto hiasan
Foto hiasan
Berita Harian X