Rabu, 2 Februari 2022 | 7:34pm
Beberapa negara menyediakan laluan khas untuk hidupan liar di bawah lebuh raya. - Foto AFP
Beberapa negara menyediakan laluan khas untuk hidupan liar di bawah lebuh raya. - Foto AFP
Pembalakan mengakibatkan binatang liar seperti gajah memasuki tempat tinggal manusia. - Foto hiasan BERNAMA
Pembalakan mengakibatkan binatang liar seperti gajah memasuki tempat tinggal manusia. - Foto hiasan BERNAMA

Elak konflik dengan hidupan liar

PUTRAJAYA: Pembinaan laluan khas tindakan wajar membolehkan haiwan liar melepasi kawasan lebuh raya.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat,Tan Sri Lee Lam Thye, berkata isu laluan khas lintasan haiwan liar masih belum dapat diatasi oleh pihak bertanggungjawab sehingga hari ini.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab dalam isu berkenaan ialah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN), syarikat pemaju lebuh raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Katanya, sebelum ini beliau pernah membangkitkan isu berkenaan kerana sejak kebelakangan ini, haiwan liar semakin kerap berkeliaran keluar dari habitat mereka, pada waktu malam untuk mencari makanan.

"Perkara ini berlaku kerana terdapat habitat yang dimusnahkan oleh pihak tertentu seperti kegiatan pembalakan haram dan pembinaan lebuh raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad lalu media melaporkan, seorang pemuda maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan ketika mengelak seekor tapir yang melintas di Kilometer 98, Jalan Jerangau-Jabur dekat Bandar Al Muktaffi Billah Shah.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi, Mohd Norhakimin Mohd Fauzi, 26, yang tinggal di Taman Ehsan Ketengah Jaya, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Lam Thye berkata, hidupan liar ini terpaksa melintasi jalan raya untuk keluar mencari makanan kerana tiada laluan khas atau laluan sesuai dibina.

Katanya, perkara itu mewujudkan konflik di antara manusia dan haiwan sehingga menyebabkan kematian membabitkan haiwan mahupun manusia, sedangkan habitat haiwan perkara yang perlu diberi perlindungan.

Katanya, perkara itu boleh dilakukan apabila pihak yang terbabit dengan projek perancangan pembangunan mengambil inisiatif untuk merancang laluan khas untuk haiwan supaya tiada konflik di antara haiwan dan manusia.

"Persoalannya pihak berkuasa yang berkaitan seperti dinyatakan itu boleh memberikan perhatian serius terhadap masalah haiwan yang melintas jalan untuk mendapatkan makanan.

"Pihak yang terbabit harus mengenal pasti laluan perjalanan haiwan supaya boleh wujudkan laluan khas supaya kemalangan membabitkan manusia dan haiwan dapat dielakkan," katanya.

Pembangunan tidak terancang mengakibatkan konflik manusia dengan haiwan. - Foto hiasan NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
Pembangunan tidak terancang mengakibatkan konflik manusia dengan haiwan. - Foto hiasan NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM

Berita Harian X