Rabu, 2 Februari 2022 | 2:00pm

305 mangsa ribut buat laporan polis

IPOH: Polis sudah menerima 305 laporan daripada mangsa ribut dan puting beliung yang melanda beberapa kawasan daerah ini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata pihaknya menasihati mereka yang menjadi mangsa ribut tetapi belum membuat laporan untuk tampil berbuat demikian.

"Nasihat saya kepada mangsa bencana ribut ini untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi memudahkan mereka membuat tuntutan serta mendapat bantuan kerajaan," katanya pada Program Penyampaian Sumbangan Skuad Musa'adah kepada mangsa ribut di Dewan Komuniti Kampung Tawas, hari ini .

Dalam pada itu, Yahaya berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berhubung kes kecurian daripada mangsa ribut dan pasukan keselamatan mengawal keadaan dengan rondaan termasuk oleh kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal di lokasi-lokasi terjejas.

"Malah anggota di balai juga ditugaskan di lokasi berkenaan dari semasa ke semasa. Polis turut membuat kawalan bagi mengelak kejadian curi besi dan zink rumah yang dialihkan angin ribut dan puting beliung oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan mencuri barang-barang yang mempunyai nilai di kawasan berkenaan," katanya.

Katanya, penduduk juga dinasihati agar tidak bimbang dan polis akan terus memberi khidmat dan memantau bagi memastikan keselamatan harta benda dan nyawa mangsa di kawasan terjejas ribut terbabit.

Ratusan rumah di beberapa kawasan iaitu Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya di sini terjejas akibat puting beliung pada kira-kira jam 6 petang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad (tiga kiri) pada Program Penyampaian Sumbangan Skuad Musa’adah kepada mangsa ribut di Dewan Komuniti Kampung Tawas. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad (tiga kiri) pada Program Penyampaian Sumbangan Skuad Musa’adah kepada mangsa ribut di Dewan Komuniti Kampung Tawas. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X