Rabu, 2 Februari 2022 | 1:31pm

Kesedaran warga Kelantan terhadap kanser masih rendah

KOTA BHARU: Pengetahuan dan kesedaran mengenai kanser di Kelantan belum memuaskan dan perlu dipertingkatkan lagi agar penyakit berbahaya ini dapat dikesan lebih awal.

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Selasawati Ghazali, berkata tahap kesedaran masyarakat bagi semua jenis kanser tidak terlalu tinggi iaitu hanya 60 peratus, manakala 40 peratus lagi perlu diperbaiki tahap kesedaran supaya langkah pencegahan, pengesanan serta rawatan awal dapat segera dilakukan.

"Kesedaran untuk mencegah penyakit kanser lebih awal sangat penting bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan secepat mungkin.

"Malah, mereka boleh mengikuti perancangan rawatan ditentukan doktor, pada masa dapat merawat mereka dengan kepakaran serta teknologi rawatan yang ada," katanya selepas merasmikan Program Sehari Bersama Pesakit Kanser Sempena Hari Kanser Sedunia 2022, hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi dan Pengasas Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi.

Selasawati berkata, mereka yang disahkan dengan tanda-tanda awal penyakit kanser perlu tampil untuk mendapatkan rawatan segera.

"Terdapat 100 kes baharu yang dikesan di HRPZII bagi setiap kategori kanser utama iaitu kanser payudara, pangkal rahim, usus, tulang, paru-paru, dan darah," katanya.

Dalam program berkenaan, seramai 125 pesakit kanser diraikan selain turut menerima bantuan wang tunai daripada YKKK serta bakul makanan barangan keperluan harian daripada sebuah rangkaian pasar raya besar.

Selasawati (tengah) pada Program Sehari Bersama Pesakit Kanser Sempena Hari Kanser Sedunia 2022, di Kota Bharu hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Selasawati (tengah) pada Program Sehari Bersama Pesakit Kanser Sempena Hari Kanser Sedunia 2022, di Kota Bharu hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X