Selasa, 1 Februari 2022 | 6:44pm
Keadaan di Jeti Pelancongan Kuala Besut selepas insiden bot pelancong bertembung bot nelayan, semalam. - FOTO PEMBACA
Keadaan di Jeti Pelancongan Kuala Besut selepas insiden bot pelancong bertembung bot nelayan, semalam. - FOTO PEMBACA

7 mangsa bot pelancong berlanggar stabil

KUALA TERENGGANU: Tujuh individu yang cedera dalam insiden pelanggaran bot pelancong dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut petang semalam, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata mereka yang berusia empat hingga 70 tahun kini dilaporkan stabil.

"Daripada tujuh individu itu, dua adalah dewasa dan lima lagi kanak-kanak. Seorang pesakit dewasa kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan diberi bantuan pernafasan, manakala seorang lagi dewasa berada di wad biasa dengan bantuan mesin oksigen.

"Empat kanak-kanak pula kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU). Dua diberi bantuan pernafasan dan dua lagi diberi bantuan mesin oksigen, manakala seorang lagi berada di wad biasa dengan bantuan mesin oksigen," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Kasemani berkata, seorang individu yang dimasukkan ke wad Hospital Besut pula telah dibenarkan pulang, manakala beberapa lagi individu hanya menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Dalam kejadian 3.30 petang semalam, bot pelancong dari Pulau Perhentian yang membawa 29 penumpang berlanggar dengan bot yang dinaiki tiga nelayan di kawasan jeti.

Semua penumpang serta kru bot pelancong dan bot nelayan jatuh ke dalam air, namun berjaya diselamatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam. - BERNAMA

Berita Harian X