Selasa, 1 Februari 2022 | 5:01pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) ditemani isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin (tengah) dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (kanan) beramah mesra dengan kanak-kanak istimewa di Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa Insan di Happy Garden, Cheras, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) ditemani isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin (tengah) dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (kanan) beramah mesra dengan kanak-kanak istimewa di Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa Insan di Happy Garden, Cheras, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

Geran RM41 juta diagih kepada pusat kebajikan sejak 2020

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneruskan pemberian geran kepada Pusat Sukarela Kebajikan (PSK) dengan fokus kepada pusat yang daif serta kurang mendapat dana swasta.

Ia meliputi PSK yang memberikan perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada kumpulan sasar, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak dengan syarat pusat itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Untuk tempoh 2020 hingga tahun lalu, geran bernilai hampir RM41 juta sudah pun diagihkan kepada 446 PSK berdaftar di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata geran yang disalurkan menerusi JKM itu turut membantu pusat jagaan yang terkesan dari segi kewangan akibat pandemik COVID-19 menerusi peruntukan khas.

"Kalau kita lihat selama dua tahun ini, kita tahu bila keadaan COVID-19 melanda negara, rumah-rumah jagaan, sama ada OKU atau warga emas mengadu kurangnya bantuan dari syarikat korporat, NGO (badan bukan kerajaan) dan sebagainya.

"Jadi dalam tempoh dua tahun ini, kita telah membantu mereka, kita adakan peruntukan khas kepada 1,225 (pusat jagaan) yang telah diagihkan ke seluruh negara menerusi bantuan secara 'one-off' sebanyak RM8,200," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengunjungi Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan, Happy Garden, di sini, sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022, hari ini.

Katanya lagi, untuk tahun lalu, geran RM19.2 juta sudah diagihkan kepada pertubuhan sukarela dalam kategori yang menjaga warga emas, OKU dan kanak-kanak.

Kerajaan sedia RM19.2 juta bantu pertubuhan sukarela kebajikan pada 2022
Kerajaan sedia RM19.2 juta bantu pertubuhan sukarela kebajikan pada 2022

"Untuk 2022, kita teruskan bantuan ini selain ada bantuan kepada pusat jagaan yang kita lihat agak daif, kurang mendapat bantuan, dengan nilai geran juga RM19.2 juta. Sebagai contoh, dari segi bantuan makanan harian kepada mereka, iaitu RM8 setiap hari bergantung kepada berapa ramai penghuni di pusat jagaan terbabit," katanya.

Katanya, pada 2020, terdapat penambahan nilai geran kepada RM21.7 juta, termasuk bantuan khas untuk pusat jagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Berita Harian X