Sabtu, 29 Januari 2022 | 2:58pm
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika sidang media sempena Muzakarah BERSATU-PAS di Shah Alam, hari ini. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika sidang media sempena Muzakarah BERSATU-PAS di Shah Alam, hari ini. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Sokongan PAS, BERSATU terhadap kerajaan adalah bersyarat

SHAH ALAM: PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan sokongan kedua-dua parti itu terhadap kerajaan adalah bersyarat.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sokongan mereka ketika ini perlu dihormati dan dirunding berlandaskan nilai integriti, anti rasuah serta berkebajikan.

"Ini antara resolusi dipersetujui kedua-dua parti hasil muzakarah yang diadakan selama dua hari.

"Kami turut melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Muzakarah PAS-BERSATU di sini, hari ini. Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Selain itu, Muhyiddin berkata, PAS dan BERSATU bersetuju memperhalusi strategi serta pendekatan perpaduan ummah dan nasional.

Katanya, pendekatan itu merentasi platform bukan politik berteraskan nilai kepercayaan bersama dan perkongsian saksama.

"Bahawasanya PAS dan BERSATU dengan penuh iltizam dan kesungguhan ke arah mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

"Kami sepakat mendukung prinsip bersama di atas nilai integriti, kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif.

"Kami juga sepakat menuju ke arah memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN), menolak budaya politik ekstrem dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara," katanya.

Berita Harian X