Jumaat, 28 Januari 2022 | 2:32pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

Wajibkan lesen jual produk tembakau

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mewajibkan setiap premis atau kedai runcit memiliki lesen penjualan produk tembakau bagi mengehadkan penjualan rokok.

Pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata cadangan itu antara yang boleh dimasukkan dalam undang-undang melarang penjualan produk tembakau kepada individu yang lahir selepas 2005 seperti dinyatakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

"Jika kerajaan benar-benar serius, wajibkan pengusaha premis mempunyai lesen untuk menjual produk tembakau kerana ia penting dalam mengawal penjualan produk itu.

"Ketika ini, kita lihat gerai di tepi jalan pun menjual rokok sedangkan kerajaan mahu melahirkan generasi tidak merokok.

"Jika cadangan ini direalisasikan, produk tembakau sukar diperoleh, sekali gus mengurangkan keinginan individu yang mahu merokok," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Khairy dalam ucapan intervensinya pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO Sesi ke-150 di Geneva, Switzerland, yang komited melaksanakan undang-undang melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005.

Khairy dilaporkan berkata, Malaysia berharap untuk meluluskan satu undang-undang tahun ini yang membawa kepada generasi tidak merokok.

Mengulas lanjut, Dr Zainal Ariffin berkata, kerajaan dicadang menubuhkan pasukan khas membabitkan pelbagai agensi menangani rokok haram seperti di Australia dan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, penubuhan pasukan khas itu penting dan selari dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan undang-undang terbabit.

"Selain mengawal penjualan produk tembakau, isu yang perlu ditangani ialah kegiatan rokok seludup. Kita tidak boleh bergantung kepada satu agensi sahaja, perlu ada kerjasama pelbagai agensi yang mampu berkongsi maklumat risikan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof Dr Rusli Abdullah, mahu kerajaan mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh sebelum melaksanakan undang-undang berkenaan.

Katanya, pembabitan pemegang taruh berkaitan mampu mencambah idea dan cadangan bagi membantu kerajaan menghasilkan undang-undang lebih baik berkaitan perkara terbabit.

"Paling utama adalah mendidik generasi tidak merokok. Kerajaan perlu menggandakan usaha memberi penerangan kepada generasi muda mengenai bahaya merokok," katanya.

Berita Harian X