Khamis, 27 Januari 2022 | 9:53pm
Nancy (kanan) memberi penerangan mengenai perhiasan pada pakaian tradisional Melayu kepada Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada majlis penyerahan busana tradisional Malaysia program diplomasi budaya bagi memperkasa aktiviti seni, budaya dan warisan negara di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini.

Busana etnik Malaysia di 10 pejabat kedutaan

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri untuk mengangkat keunikan dan kepelbagaian budaya etnik utama di Malaysia melalui pameran busana tradisional.

Lima jenis busana kebudayaan merangkumi etnik Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak dengan aksesori lengkap akan diserahkan kepada Pusat Kebudayaan ASEAN di Bangkok, Thailand serta 10 Pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara terpilih.

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata program yang turut mendapat kerjasama strategik Persatuan Solidariti Seni Budaya dan Warisan Malaysia itu diharap dapat meningkatkan lagi penghayatan dan peranan duta-duta Malaysia di luar negara dalam mempromosikan seni budaya negara.

"Usaha kerajaan untuk terus memperkasakan budaya bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak pengenalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada 1971, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah berorientasikan seni, budaya dan warisan dalam mengekalkan identiti negara Malaysia yang kaya dengan budayanya tersendiri.

"Pelaksanaan inisiatif diplomasi budaya ini adalah selari dengan teras kelima Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu 'Pemerkasaan Budaya' sebagai agenda penting bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan dan menjadi hab budaya serantau," katanya selepas Majlis Penyerahan Busana Tradisional Malaysia Program Diplomasi Budaya, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Luar Negeri, Datuk Sri Saifuddin Abdullah dan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Nancy (tiga, kanan) menyerahkan ketapu iaitu pakaian di atas kepala kaum Iban pada simbolik penyerahan busana tradisional Malaysia program diplomasi budaya bagi memperkasa aktiviti seni, budaya dan warisan negara kepada Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini. - fotoBERNAMA

Nancy berkata, pejabat kedutaan atau pesuruhjaya tinggi di luar negara yang terpilih adalah di Paris, Perancis; London (United Kingdom) ; Washington (Amerika Syarikat); Berlin (Jerman); Abu Dhabi atau Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE); Delhi (India); Bangkok (Thailand); Beijing (China); Tokyo (Jepun) dan Seoul (Korea Selatan).

Berita Harian X