Khamis, 27 Januari 2022 | 12:35pm
Nornekman Osman. FOTO FB
Nornekman Osman. FOTO FB

Anak Osman 'intai' di DUN Kempas

JOHOR BAHRU: Anak sulung Allahyarham Datuk Osman Sapian iaitu Nornekman berhasrat bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Nornekman, 47, yang juga Timbalan Ketua PEJUANG Johor berkata, meskipun bertanding atas tiket parti politik berbeza dengan bapanya dari BERSATU, itu bukan penghalang baginya meneruskan legasi arwah bapanya.

"Saya memang bersedia untuk bertanding dan jika boleh, mahu menjadi calon DUN Kempas kerana penduduk di situ amat dekat di hati kami sekeluarga, termasuk saya sendiri sepanjang tiga penggal arwah menjadi wakil rakyat di situ.

"Bagaimanapun saya tetap akur dengan sebarang keputusan kepemimpinan parti membabitkan soal pencalonan dalam PRN Johor," katanya di pejabat Pejuang Johor, hari ini.

Osman bekas Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas merangkap Ketua Bahagian BERSATU Ayer Hitam, meninggal dunia di rumah anaknya di Kuala Lumpur pada 21 Disember lalu.

Mengulas mengenai Johor sebagai medan pertama PEJUANG bertanding, Nornekman berkata, parti itu mahu menghadiahkan kemenangan PRN Johor kepada Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad selain berharap kesihatan pengasas parti itu beransur baik sekali gus membolehkan beliau turun membantu jentera di PRN Johor.

"Bagaimanapun, apa yang lebih utama adalah beliau menjaga kesihatan diri ketika ini. Jika beliau tidak dapat turun secara fizikal sekalipun, beliau masih boleh membantu kempen melalui pelbagai platform lain, termasuklah menggunakan media sosial," katanya.

Semalam, anak sulung bekas perdana menteri itu, Datin Paduka Marina dilaporkan berkata keadaan kesihatan Dr Mahathir semakin pulih dan dipindahkan dari Unit Rawatan Koronari ke wad biasa Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, Nornekman berkata, PEJUANG Johor akan memastikan calon dipilih untuk bertanding dalam PRN itu tidak melakukan kecuaian yang boleh menjejaskan kempen parti, khususnya ketika hari proses penamaan calon.

"Sebagai langkah persediaan, Biro Peguam parti, akan memberi latihan kepada semua pihak terbabit kerana setiap kali pilihan raya, kita akan dengar berita kecuaian seperti calon salah isi borang, tertinggal kad pengenalan dan sebagainya, maka PEJUANG akan pastikan perkara seperti ini tidak berlaku," katanya.

Pada Sabtu lalu, Ketua PEJUANG Johor, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh dilaporkan berkata, parti itu akan bertanding secara sendirian dengan meletakkan 42 calon pada PRN Johor. – BERNAMA

Berita Harian X