Rabu, 26 Januari 2022 | 7:18pm
Foto dirakamkan pada 10 Januari lalu menunjukkan sukarelawan menggunakan jengkaut untuk mengangkat keluar tunggul kayu hanyut dari Sungai Benus ketika melakukan gotong-royong membersih persekitaran kawasan Rekreasi Pulau Santap, Janda Baik yang terjejas akibat kejadian banjir besar Disember lalu. - Foto BERNAMA
Foto dirakamkan pada 10 Januari lalu menunjukkan sukarelawan menggunakan jengkaut untuk mengangkat keluar tunggul kayu hanyut dari Sungai Benus ketika melakukan gotong-royong membersih persekitaran kawasan Rekreasi Pulau Santap, Janda Baik yang terjejas akibat kejadian banjir besar Disember lalu. - Foto BERNAMA

Pembalakan faktor sampingan banjir puing

KUALA LUMPUR: Aktiviti pembalakan dan pembersihan tanah hanya berperanan sebagai faktor sampingan bagi bencana banjir puing yang mana kayu balak dihanyutkan bersama air hujan seperti di Pahang baru -baru ini.

Pakar geobencana, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata terdapat punca lebih signifikan iaitu hujan lebat yang menjadi faktor pencetus dan proses geologi berantai sebagai faktor utama insiden terbabit.

"Ramai yang bertanya apa punca sebenar banjir puing? Benarkah pembalakan tidak menyumbang kepada banjir puing ini. Semua bencana alam membabitkan tiga perkara asas iaitu faktor pencetus, faktor utama dan faktor sampingan.

"Bagi faktor sampingan ia boleh menjadi pelbagai punca, antaranya pembersihan tanah untuk pembangunan dan aktiviti pembalakan.

"Justeru adalah amat tidak adil bagi mereka yang menyalahkan aktiviti pembalakan yang menjadi faktor utama atau sampingan kepada bencana banjir puing kali ini," katanya di Facebook.

Pada akhir Disember lalu, tular beberapa gambar dan video yang menunjukkan banjir lumpur bersama kayu hanyut melanda sekitar Bentong, Pahang, khususnya kawasan Karak di mana ramai pihak mengaitkannya dengan aktiviti pembalakan.

Susulan itu, 45 badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan menggesa kerajaan mengadakan siasatan bebas serta mengambil tindakan segera terhadap mereka yang mungkin bertanggungjawab dalam kejadian bencana terbabit.

Pada masa sama, Ibrahim berkata, tinjauan lapangan menunjukkan sekitar 80 peratus kawasan tanah runtuh berada di hutan simpan kekal manakala 20 peratus lagi ialah kawasan pertanian, khususnya ladang kelapa sawit, getah dan buah-buahan.

Mengulas lebih lanjut mengenai faktor pencetus, beliau berkata, berlakunya hujan lebat luar biasa pada 17 hingga 19 Disember lalu, khususnya di Gunung Nuang, Banjaran Titiwangsa dengan kawasan berdiameter sekitar 30 kilometer (km).

"Dua fenomena meteorologi iaitu 'lekukan tropika dan luruan monsun' bertanggungjawab dengan hujan ekstrem ini.

"Hujan ini berupaya menjadikan tanah lampau-tepu, menurunkan faktor keselamatan cerun curam kepada lebih 45 darjah sebelum ia runtuh secara besar-besaran.

"Jumlah air hujan sahaja mampu menyebabkan fenomena banjir di kawasan hilir sungai," katanya.

Sementara bagi faktor penyebab utama iaitu proses geologi berantai, ia dicetuskan oleh hujan luar biasa juga yang membekalkan lebih 10 juta meter padu bahan puing yang bercampur dengan air sungai menyebabkan banjir puing yang mana paras air dan kuasa pemusnah sangat tinggi.

"Inilah penyebab utama bencana di lembah dataran tinggi seperti di kawasan Bentong dan Karak," katanya.

Berita Harian X