Rabu, 26 Januari 2022 | 7:08pm

4,000 peminjam LPPSA terima moratorium

ALOR GAJAH: Seramai 4,000 peminjam Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang menghadapi masalah projek sakit bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sudah diberikan moratorium oleh Kementerian Kewangan.

Mengumumkannya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata moratorium itu diluluskan selepas beliau berjumpa Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi memohon kelonggaran berkenaan, baru-baru ini.

Beliau berkata, peminjam terbabit terpaksa membayar balik pinjaman perumahan bawah KPKT seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), sedangkan projek itu gagal disiapkan mengikut jadual.

"Saya berjumpa sendiri Menteri Kewangan untuk membawa suara penjawat awam yang membeli projek perumahan bawah KPKT yang lewat siap seperti PR1MA, SPNB dan PPAM supaya diberikan moratorium.

"Menteri Kewangan dan LPPSA sudah meluluskannya dan penjawat awam hanya perlu memaklumkan kepada LPPSA supaya LPPSA menstruktur semula potongan gaji," katanya pada sidang media selepas menyerahkan kunci kepada 10 pembeli rumah PR1MA di Residensi Pulau Sebang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Zaidi Attan dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia, Datuk Dr Fathul Bahri Mat Jahya.

Penjualan residensi itu dilancarkan pada 2018 dan mengandungi 972 unit rumah teres setingkat dan dua tingkat bernilai antara RM163,800 hingga RM316,800.

Projek itu adalah satu daripada 61 projek PR1MA yang keseluruhannya berjumlah 50,000 unit rumah di seluruh negara.

Selain Residensi Pulau Sebang, projek PR1MA lain yang sudah siap sepenuhnya di Melaka ialah Residensi Rumpun Bahagia di Melaka Tengah (600 unit) dan Residensi A'Famosa 1 di Alor Gajah (280 unit).

Projek PR1MA yang masih dalam pembinaan di negeri ini ialah Residensi Klebang 2 (800 unit), Residensi Bukit Katil (527 unit), Residensi A'Famosa Fasa 2 (475 unit) dan Residensi Melaka Tengah 2 (980 unit).

Ia menjadikan keseluruhan 4,634 unit rumah PR1MA dibina di Melaka dan memberi manfaat kepada 20,000 penghuni.

Reezal juga berkata, PR1MA mampu mengekalkan harga jualan rumah bawah RM300,000 seunit meskipun kos bahan binaan meningkat kerana memiliki bank tanah yang mencukupi untuk pembinaan perumahan.

Bagaimanapun, beliau mengakui kenaikan kos bahan binaan, terutama besi memberikan kesan kepada projek perumahan PR1MA tetapi kerajaan tidak akan menaikkan harga perumahan itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyerahkan kunci Residensi PR1MA Pulau Sebang kepada pembeli rumah di Dewan Serbaguna, Residensi PR1MA Pulau Sedang, Alor Gajah. NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyerahkan kunci Residensi PR1MA Pulau Sebang kepada pembeli rumah di Dewan Serbaguna, Residensi PR1MA Pulau Sedang, Alor Gajah. NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Berita Harian X