Selasa, 25 Januari 2022 | 8:14pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (empat kiri) bersama Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua kiri) dan Pengarah SKS Airways Sdn Bhd, Datuk Rohman Ahmad (tiga kanan) menunjukkan tanda isyarat bagus ketika bergambar berlatarbelakangkan papan tanda 'Selamat Datang' pada Majlis Sambutan Penerbangan ''SKS Airways Subang-Pangkor'' di Lapangan Terbang Pangkor. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM

Landasan Lapangan Terbang Pangkor wajar dipanjangkan

PANGKOR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam perbincangan dengan kerajaan negeri untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Pangkor, di sini, sehingga 1.5 kilometer selepas lapangan berkenaan kembali beroperasi semula.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, usaha berkenaan berdasarkan penilaian jenis kapal terbang yang akan menggunakan landasan berkenaan kelak bagi membolehkan lebih ramai penumpang dapat dibawa ke pulau peranginan itu.

Beliau berkata, ia juga bagi membolehkan kapal terbang seperti jenis ATR 70 yang boleh memuatkan kira-kira 70 penumpang untuk mendarat di landasan itu bagi merancakkan lagi sektor pelancongan.

"Kita sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk memanjangkan landasan sedia ada. Saya memaklumkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) mengenai perancangan MAHB dan mendapat sokongan kuat daripada kerajaan negeri.

"Ketika ini panjang landasan adalah 732 meter dan kita harap boleh mencapai 1.5 kilometer bagi membolehkan kapal terbang dapat menambah bilangan penumpang mendarat," katanya selepas Majlis Sambutan Penerbangan SKS Airways Subang-Pangkor di Lapangan Terbang Pulau Pangkor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SKS Airways Sdn Bhd, Datuk Rohman Ahmad.

Untuk rekod, Lapangan Terbang Pangkor dibuka sejak 1993 dengan landasan kapal terbang sepanjang 732 meter membolehkan pesawat mendarat dan berlepas pendek (STOL), namun berhenti beroperasi sejak Februari 2014.

Sebelum ini media melaporkan, MAHB dalam kajian dan perincian untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Pangkor sebelum ia beroperasi semula.

Berita Harian X