Selasa, 25 Januari 2022 | 6:54pm
Zii Jia (kiri) berkongsi gambar pertemuannya bersama Mohamad Norza Zakaria (tengah).
Zii Jia (kiri) berkongsi gambar pertemuannya bersama Mohamad Norza Zakaria (tengah).

Norza sahkan dakwaan Zii Jia

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan beliau memberi restu kepada jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk menjadi pemain profesional.

"Ya," kata Norza dalam maklum balas ringkas kepada Bernama ketika ditanya untuk menjelaskan kenyataan yang dibuat Zii Jia menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Sebelum ini, Zii Jia menulis bahawa dia menerima restu daripada Norza untuk menjadi pemain profesional selepas pertemuan yang turut dihadiri ibu bapanya.

"Saya gembira kerana isu ini sudah diselesaikan dengan BAM selepas menerima restu daripada Tan Sri untuk menjadi pemain profesional.

"Pencapaian saya pada masa lampau dan akan datang akan sentiasa sebagai produk Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia.

"Saya bersyukur kerana Tan Sri sentiasa memberikan panduan, menyemai dan memberi peluang untuk saya berkhidmat buat negara yang tercinta," kata Zii Jia.

Justeru, pemain nombor tujuh dunia itu akan mewakili negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang akan berlangsung di Shah Alam bermula 15 Februari ini di mana kejohanan ini turut menjadi kelayakan kepada Piala Thomas dan Piala Uber.

Dalam masa sama, pemain kelahiran Kedah itu turut menyeru semua pihak supaya terus memberi sokongan kepada BAM dan juga pemain profesional negara yang selama ini dibentuk oleh badan induk itu.

Dalam satu sidang media, Zii Jia juga enggan mengulas laporan yang mengatakan dia menolak tawaran RM1 juta yang diberikan oleh BAM supaya kekal bersama mereka.

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunos menjelaskan kedua-dua pihak berpuas hati dengan hasil perbincangan yang dijalankan bagi membincangkan keputusan rayuan penggantungan dua tahun yang dikenakan ke atas Zii Jia.

Jumaat lalu, Jahaberdeen mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana pertandingan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari.

Keputusan itu dibuat selepas pemain berusia 23 tahun itu mahu meninggalkan BAM untuk menjadi pemain profesional dan mengatakan tidak mampu berdepan tekanan dan 'gaya hidup' di BAM.

Bagaimanapun BAM semalam mengesahkan Zii Jia mengemukakan rayuan atas hukuman itu dan berjanji untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Berita Harian X