Selasa, 25 Januari 2022 | 3:43pm

Kemelut BAM-Zii Jia selesai

KUALA LUMPUR: Kemelut yang melanda antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dianggap selesai selepas kedua-dua pihak menemui jalan penyelesaian yang akan diumumkan, minggu depan.

Timbalan Presiden 2 BAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos ketika ditemui berkata, pertemuan dengan Zii Jia, hari ini dibuat selepas pemain ranking ketujuh dunia itu mengemukakan surat rayuan semalam.  

"Kedua-dua pihak sudah sampai satu kesudahan yang akan diumumkan minggu depan, tapi yang pasti ia satu kesudahan memuaskan hati kedua-dua pihak dan satu kesudahan yang bagus untuk negara dan juga BAM.  

"Cumanya ialah kami akan membawa hasil keputusan hari ini kepada ahli majlis BAM untuk mendapatkan pengesahan rasmi dan kemudian akan membuat pengumuman minggu depan," katanya selepas bertemu Zii Jia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini. 

Jumaat lalu BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.  

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuat kuasa 31 Oktober 2021.

Jahaberdeen berkata, BAM tidak pernah 'bermusuh' dengan Zii Jia tetapi hanya mengambil keputusan untuk tidak mendaftarkannya menyertai kejohanan antarabangsa berdasarkan peraturan yang ada dalam badan induk itu. 

"Kami mengambil tindakan selari dengan polisi persatuan. Tapi sekarang semua sudah OK sebab kita sudah melalui proses rayuan," katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan kemungkinan ada jalan penyelesaian membabitkan kemelut membabitkan Zii Jia dengan BAM.Jelasnya, menerusi pertemuan dengan pemain nombor tujuh dunia itu semalam, beliau sudah mendapat gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku, malah sudah bercakap dengan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

"Saya sudah mendapat gambaran yang jelas dan sudah bercakap dengan Tan Sri Norza. Saya nampak memang kedua-dua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai perkara paling utama.

"Sekarang ada macam-macam andaian. Ada yang kata baik (Zii Jia) patah balik ke BAM dan juga kata lebih baik menjadi pemain profesional. Perkara ini biarlah pihak BAM yang berbincang dengan Zii Jia.

"Saya sebagai menteri hanya mahu cuba mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan negara," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), hari ini.

 Lee Zii Jia (tengah) bersama Dr Jahaberdeen (dua dari kiri) selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan BAM di ABM Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Lee Zii Jia (tengah) bersama Dr Jahaberdeen (dua dari kiri) selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan BAM di ABM Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Berita Harian X