Isnin, 24 Januari 2022 | 8:30pm
Pelaksanaan RFID oleh PLUS meliputi Plaza Tol Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor bermula 15 Januari lalu menimbulkan banyak rungutan pengguna. - Foto NSTP
Pelaksanaan RFID oleh PLUS meliputi Plaza Tol Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor bermula 15 Januari lalu menimbulkan banyak rungutan pengguna. - Foto NSTP

Kerajaan teliti kos sebenar RFID - Fadillah

KUALA TERENGGANU: Kerajaan meminta PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch 'n Go (TNG) untuk memberi justifikasi terhadap harga pemasangan pelekat teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata penilaian itu susulan aduan caj pemasangan sekeping pelekat RFID berharga RM35 yang dikatakan membebankan pengguna.

Katanya, syarikat itu sudah diminta memberi maklumat perincian kos pelekat RFID kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kewangan.

"Kita akan melakukan perincian kos sebenar pembangunan RFID itu sebelum membuat keputusan mengenai harga pemasangan pelekat berkenaan.

"KKR bersama Kementerian Kewangan akan menilai segala kos struktur yang mereka buat itu (seperti), apa justifikasi mengapa dikenakan RM35.

"(Daripada situ), kita akan pastikan sama ada untuk dikurangkan atau berapakah kos munasabah yang boleh dikenakan kepada pengguna.

"PLUS juga memberi jaminan pengguna yang mengalami kerosakan RFID akan menerima gantian pelekat itu secara percuma," katanya selepas melakukan tinjauan projek Kuala Terengganu Bypass di sini, hari ini.

KKR sebelum ini sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID diselesaikan secepat mungkin.

Fadillah berkata, kementeriannya akan terus memantau dan memastikan kedua-dua syarikat itu dapat menyelesaikan sebarang isu berhubung penggunaan lorong RFID.

Sebelum ini, Kabinet memutuskan supaya pengguna diberi lebih pilihan selain penggunaan RFID bagi pembayaran tol di lebuh raya.

Pelaksanaan RFID oleh PLUS meliputi Plaza Tol Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor bermula 15 Januari lalu menimbulkan banyak rungutan pengguna.

Berita Harian X